KENINGAU: Peranan ibu bapa sebagai rakan strategik sekolah amat penting dalam memastikan kejayaan akademik dan pembentukan sahsiah murid, kata Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin.
Beliau berkata, asas pendidikan bermula di rumah, justeru penglibatan aktif ibu bapa dalam membimbing anak-anak sangat diperlukan bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berdisiplin dan berakhlak mulia.
“Sebagai ibu bapa, kita adalah pendidik pertama dan utama. Walaupun anak-anak datang ke sekolah untuk menimba ilmu, asas pendidikan sebenarnya bermula di rumah. Sokongan, dorongan dan perhatian ibu bapa sangat menentukan kejayaan anak-anak,” katanya.
Robert berkata demikian ketika merasmikan Program Mitatabang: Ceramah Motivasi Ibu Bapa ‘Peranan Ibu Bapa Menjana Anak Cemerlang’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Daerah Keningau, Rafie Robert.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor itu berkata, program yang dianjurkan PIBG SK Bingkor dengan kerjasama pihak sekolah itu, adalah satu inisiatif tepat dalam memperkukuh hubungan erat antara ibu bapa, guru dan murid.
“Mitatabang membawa maksud gotong-royong atau kerjasama komuniti untuk menyelesaikan sesuatu perkara bersama.
“Dari sudut ilmiah, ia menggambarkan sinergi antara guru, ibu bapa dan murid dalam usaha meningkatkan penguasaan kemahiran membaca serta pencapaian akademik,” katanya.
Menurut beliau, program sebegini bukan sahaja wadah perkongsian ilmu, malah menjadi platform penyatuan komuniti untuk berganding bahu dalam mendidik generasi masa depan.
“Saya percaya dengan motivasi serta kesedaran yang diberikan, ibu bapa akan lebih peka, terlibat secara aktif dan komited memastikan perkembangan akademik serta sahsiah anak-anak berada pada landasan betul.
“Kehadiran ibu bapa dalam kehidupan anak-anak memberi impak besar dari sudut emosi, disiplin dan semangat untuk belajar,” katanya.
Robert turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran program itu dan berharap kerjasama yang wujud akan terus berkekalan.
“Semoga usaha ini tidak hanya berakhir di majlis ini tetapi berterusan demi kecemerlangan pendidikan di SK Bingkor, selaras dengan slogannya ‘Di Sini Ada Cinta’,” katanya. – pr/BNN