SANDAKAN: Kerajaan negeri memberi perhatian terhadap masalah penduduk yang sudah lama menduduki kampung tanpa pewartaan, termasuk di kawasan hutan simpan bagi memastikan mereka dapat terus tinggal secara sah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata atas sebab itu, usaha diambil bagi mewartakan perkampungan yang sudah lama diduduki seperti dilakukan baru-baru ini menerusi kelulusan kira-kira 40,000 ekar tanah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan Bantuan Syukur kepada penerima pada Majlis Penyampaian Tapak Tanah Untuk Pewartaan Kg.Karamunting Baharu di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Karamunting, Sandakan pada Jumaat.

Katanya, keluasan tanah yang diwartakan menjadi perkampungan seperti di Sipitang, Tenom dan beberapa lagi daerah lain itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menyelesaikan masalah dihadapi penduduk kampung.

“Kita mahu beri jaminan kepada rakyat supaya mereka ada tempat tinggal secara sah, tidak lagi menjadi setinggan, tapi menjadi penduduk yang sah di kampung yang sudah lama diduduki.

“Sebab itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini kita keluarkan 40,000 ekar dari tanah rizab hutan dan tanah kerajaan untuk dijadikan kampung yang sah.

“Inilah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini, kita amat prihatin kepada rakyat, dari perkampungan hingga masa depan mereka, yang kurang mampu kita bantu. Hanya dalam kerajaan ini kita mempunyai dasar yang begitu baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Tapak Tanah Untuk Pewartaan Kampung Karamunting Baharu, di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Karamunting di sini pada Jumaat.

Pada majlis itu, Hajiji menyaksikan penyerahan tapak tanah milik Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk diwartakan sebagai Tanah Rizab Anak Negeri untuk Kampung Karamunting Baharu.

Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib; Ahli Dewan Undangan (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew; ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah; ADUN Telupid, Datuk Jonnybone Kurum; ADUN Dilantik, Datuk Jaffari Waliam; Ahli Dewan Negara, Senator Anna Bell @ Suzieana Perian dan Presiden MPS, Walter Kenson.

Hajiji menyifatkan majlis itu adalah detik bersejarah buat penduduk Karamunting Baharu, kerana ia bukan sekadar acara penyerahan tanah, malah lebih penting lagi membawa pengiktirafan terhadap hak dan sejarah penempatan penduduk yang mendiami kawasan itu sejak lebih tiga dekad lalu.

Sementara itu, Hajiji mengucapkan terima kasih kepada George atas usahanya memastikan Kampung Karamunting Baharu dapat diwartakan sebagai perkampungan yang sah di DUN Karamunting.

“Datuk George jumpa saya beberapa kali bukan saja mengenai masalah di Kampung Karamunting Baharu ini, malah masalah lain di DUN Karamunting. Beliau tidak jemu jumpa saya kemukakan masalah rakyat di DUN ini.

“Banyak yang beliau lakukan, tadi beliau ada sebut pemasangan lampu solar di beberapa kampung, ini menunjukkan beliau bekerja kuat dan saya berharap dalam pilihan raya akan datang bagi lagi sekali peluang kepada beliau menjadi wakil rakyat.

“Kalau wakil rakyat kita rajin bekerja kenapa pula cari orang lain, orang lain belum tahu lagi, tapi beliau sudah tunjuk kemampuan sebagai wakil rakyat. Kerana itu saya hargai sokongan George terhadap kerajaan, jangan bimbang, apa yang dikatakan pembangkang, katak kah, apakah, yang penting kita kerja untuk rakyat,” katanya.

Dalam hal lain, Hajiji mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini supaya mempermudahkan urusan orang ramai yang memerlukan khidmat mereka, seperti permohonan lesen berniaga.

Beliau turut memuji langkah diambil MPS dibawah Presidennya, Encik Walter Kenson yang berjaya mempercepatkan urusan permohonan lesen berniaga daripada mengambil masa berminggu kepada hanya sehari untuk diselesaikan.

“Kalau urusan itu boleh dimudahkan jangan kita susahkan orang kampung, kita mesti ada perasaan itu. Yang mudah kita mudahkan lagi, jangan susahkan lagi, itu sifat yang tidak bagus.

“Buat yang terbaik tolong orang kita, jangan susahkan mereka, apabila datang bagi bermacam alasan. Pada zaman ini kita tidak boleh buat begitu, sistem kerajaan mesti ditingkatkan,” katanya.-pr/BNN