KENINGAU: Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Datuk Robert, dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengelola (Board of Governance) Geomatika College Keningau (GCK) bagi tempoh tiga tahun, berkuat kuasa serta-merta.

Watikah pelantikan disampaikan oleh Pemangku Rektor GCK, Nur Azsyerrah Jahini, pada satu majlis rasmi di kampus kolej berkenaan, kelmarin.

Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara GCK dengan Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau.

Kerjasama strategik berkenaan diyakini mampu memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan industri pelancongan, selain membuka lebih banyak ruang kepada pelajar GCK menjalani latihan industri bersama penggiat sektor berkenaan di daerah ini.

Rafie menyifatkan pelantikan itu sebagai satu penghormatan besar, selain bertekad untuk memberi sumbangan terhadap peningkatan kualiti akademik serta reputasi GCK di peringkat lebih tinggi.

“Saya percaya kerjasama yang dimeterai ini akan memberi impak positif kepada pembangunan pelancongan daerah, sekali gus memperluas jaringan industri yang dapat dimanfaatkan oleh pelajar,” katanya.

Melalui pelantikan dan MoU tersebut, GCK bersama Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau dijangka merangka pelbagai program serta inisiatif bersama untuk memperkasa sektor pelancongan dan kebudayaan di Keningau, seiring aspirasi menjadikan daerah ini antara destinasi pelancongan utama di pedalaman Sabah.-pr/BNN