KENINGAU: Majlis gimik penyerahan projek siap Dewan Terbuka Kampung Kikiran, Apin-Apin, di sini semalam membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan rakyat luar bandar tidak ketinggalan menikmati pembangunan seimbang.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Keningau, Rafie Robert, yang mewakili Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin.

Dalam ucapannya, Rafie menegaskan projek tersebut adalah hasil usaha berterusan Datuk Robert yang sentiasa memperjuangkan kepentingan rakyat Bingkor di Dewan Undangan Negeri.

Katanya, ia direalisasikan melalui peruntukan daripada Kementerian Kewangan Sabah dan Kerajaan Negeri di bawah kerangka dasar Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Dewan terbuka ini bukan sekadar bangunan untuk aktiviti masyarakat, tetapi simbol perhatian kerajaan kepada rakyat luar bandar. Inilah bukti bahawa suara rakyat Bingkor sentiasa diperjuangkan YB Datuk Robert di peringkat kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, sejak beberapa tahun lalu, kawasan Bingkor telah menerima pelbagai pembangunan yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Antara kejayaan yang dicapai hasil usaha Robert termasuk menaik taraf jalan kampung, peningkatan bekalan elektrik dan air bersih, penyediaan klinik desa dan kemudahan kesihatan, selain penambahbaikan prasarana pendidikan serta pembinaan kemudahan masyarakat seperti dewan terbuka.

“Semua ini adalah bukti nyata bahawa Bingkor tidak lagi dipinggirkan. Malah, ia kini semakin seiring dengan arus pembangunan negeri di bawah gagasan SMJ,” katanya.

Rafie menegaskan, pembangunan yang dinikmati hari ini selari dengan dasar SMJ yang diperkenalkan Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, dasar itu memberi fokus bukan sahaja kepada pembangunan infrastruktur, malah turut memperkukuhkan ekonomi rakyat, memperluas peluang pekerjaan, meningkatkan taraf pendidikan, memperkasakan perkhidmatan kesihatan serta membela masyarakat desa dan luar bandar.

“Kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang menekankan rakyat sebagai teras pembangunan. Inilah kelebihan yang perlu kita pertahankan,” ujarnya.

Menurut Rafie, kesinambungan kepimpinan amat penting untuk memastikan pembangunan di Bingkor dapat diteruskan dan diperluas. Justeru, beliau menyeru rakyat Bingkor untuk terus menyokong kepimpinan Robert.

“Sokongan rakyat amat penting bagi menjayakan agenda besar ‘Bingkor Membangun Bersama Rakyat 2.0’. Agenda ini membawa tekad untuk melihat kawasan kita terus maju, masyarakat hidup lebih selesa, dan anak-anak kita mendapat peluang masa depan lebih cerah,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa pembangunan hanya dapat dijayakan dengan kesatuan rakyat dan kerjasama erat antara masyarakat dan kerajaan.

Sambil menyampaikan salam hormat serta doa kesihatan daripada Datuk Robert yang kini dalam proses pemulihan, Rafie merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan projek berkenaan, khususnya penduduk Kampung Kikiran yang sentiasa bersatu padu dan memberi kerjasama kepada kerajaan.

“Marilah kita memanfaatkan kemudahan yang ada dengan sebaiknya, menjaga prasarana yang telah dibina, dan terus bersatu hati demi kemajuan Bingkor,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri pemimpin masyarakat, ketua jabatan negeri dan persekutuan, ketua kampung serta penduduk setempat yang bersama-sama meraikan kejayaan projek tersebut.-pr/BNN