KENINGAU: Hujan renyai semalam tidak menghalang ribuan warga Keningau berhimpun di Padang Kompleks Sukan Keningau dalam perhimpunan aman “Justice for Zara” bagi menuntut keadilan untuk Allahyarhamah Zara Qairina binti Mahathir.

Perhimpunan penuh emosi itu disifatkan antara yang terbesar pernah dianjurkan rakyat Sabah — bukan sahaja kerana jumlah kehadiran, malah kerana semangat kebangsaan yang dizahirkan melalui nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku yang bergema dengan penuh khidmat.

Ia menjadi simbol tekad rakyat untuk bersatu menuntut keadilan tanpa mengira latar belakang.

Kehadiran Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, memperkukuh mesej solidariti apabila perjuangan rakyat ini turut dikongsi pemimpin negeri.

Pemerhati tempatan melihat penyertaan ribuan peserta sebagai isyarat lantang bahawa rakyat Sabah menuntut keadilan bukan sahaja untuk adik Zara, malah menolak segala bentuk ketidakadilan yang dirasakan masih menghantui negeri ini sejak pembentukan Malaysia.

Persoalan mengenai prinsip Kedaulatan Undang-undang dalam Rukun Negara turut bergema sepanjang himpunan, dengan suara tegas mengingatkan bahawa laungan prinsip itu tidak bermakna jika gagal ditegakkan.

“Tiada gunanya prinsip Rukun Negara dilaungkan tanpa dipatuhi, tiada ertinya perjanjian jika tidak dihormati,” antara suara yang kedengaran jelas di tengah padang.

Bagi ramai peserta, himpunan itu dianggap hadir dengan “campur tangan Tuhan” yang menggerakkan hati rakyat untuk bersatu menuntut kebenaran dan keadilan.

Walaupun padang dibasahi hujan, laungan solidariti dan nyanyian patriotik memancarkan mesej jelas bahawa perjuangan ini bukan retorik, sebaliknya lahir daripada nurani kolektif rakyat.

Dari Keningau, gema tuntutan itu melangkaui sempadan daerah dengan satu mesej utama:

“Keadilan untuk Zara adalah keadilan untuk setiap anak Sabah, dan keadilan untuk seluruh anak bangsa Malaysia.”-pr/BNN