KENINGAU: Jambatan simen Kampung Tangkongon, Bingkor bukanlah tempat untuk dijadikan ‘port healing’ atau lokasi bersantai sesuka hati hingga mengganggu keselamatan pengguna jalan raya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tangkongon, Venesius Posius Uddie, menegaskan orang ramai perlu lebih bertanggungjawab serta menghormati fungsi kemudahan yang dibina untuk kepentingan penduduk setempat.

Teguran itu dibuat susulan tular gambar sekumpulan individu melepak di atas jambatan berkenaan, sekali gus menghalang laluan kenderaan.
Situasi itu, katanya, amat berisiko terutama bagi pemandu yang datang dari arah bawah jambatan kerana pandangan terhalang dan menyukarkan mereka mengelak sekiranya berlaku kecemasan.
“Kalau mahu melepak boleh, tapi utamakan keselamatan dengan berada di tepi, bukan di tengah laluan. Pemandu dari arah bawah sukar melihat orang yang berada di atas jambatan, lebih-lebih lagi jika kenderaan dipandu laju,” tegasnya.
Jambatan simen ini dibina hasil usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik, bagi menghubungkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru dengan kampung-kampung berdekatan seperti Takulindang, Maasin, Minansut, Naidat, Tandian, Kamansi, Lipasu, Berungis, Narupot, Poowo, Gua Laing serta kawasan ladang sawit Kandang Besar dan kebun pertanian penduduk.
Sebelum ini, penduduk hanya bergantung kepada jambatan rendah (low cross bridge) yang sering dinaiki air ketika hujan lebat, menyebabkan pelajar dan pengguna jalan terputus hubungan. Kini, dengan adanya jambatan kukuh itu, perjalanan menjadi lebih lancar dan selamat.
Namun, kawasan itu pernah mencatatkan tragedi apabila seorang anak muda dilaporkan maut akibat lemas sebelum jambatan berkenaan siap sepenuhnya, seperti dilaporkan media tempatan sebelum ini.
“Kejadian menyayat hati itu seharusnya menjadi peringatan. Saya tidak mahu insiden sebegitu berulang hanya kerana sikap segelintir pihak yang menjadikan jambatan ini tempat ‘healing’,” kata Venesius.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai netizen turut meluahkan kebimbangan berhubung risiko kemalangan di jambatan itu.
Mereka mendakwa kebanyakan individu yang sering melepak di jambatan berkenaan bukanlah penduduk Kampung Tangkongon, sebaliknya datang dari kampung berhampiran termasuk golongan pelajar dan belia, khususnya pada waktu pulang sekolah sekitar jam 5 petang.
Ada juga yang memarkir kenderaan dan motosikal di tepi jambatan semata-mata untuk bersantai, sekali gus mengganggu pandangan pemandu.
“Sebelum berlaku insiden, lebih baik pihak berkuasa atau sekolah ambil tindakan. Kalau sudah ada yang dilanggar baru mahu salahkan pemandu, itu sudah terlambat,” kata seorang pengguna Facebook.
Antara cadangan yang dikemukakan netizen termasuk rondaan polis peronda, pemasangan papan tanda larangan melepak dan penguatkuasaan lebih tegas bagi memastikan keselamatan di kawasan berkenaan.
Venesius menegaskan, kemudahan yang diperjuangkan hasil suara rakyat itu wajar dipelihara bersama.
“Bukan semua wakil rakyat turun memikirkan keperluan kampung terpencil seperti kita. Datuk Robert sudah buktikan keprihatinannya, maka wajarlah kita sama-sama menghargai dan menjaga kemudahan ini,” ujarnya.
Bagi masyarakat Bingkor, jambatan itu bukan sekadar laluan konkrit yang menghubungkan kampung, tetapi juga jambatan hati antara pemimpin dan rakyat – bukti kepercayaan, kepedulian dan kesungguhan yang tidak pernah putus.-pr/BNN