KENINGAU: Malam tenang di Dewan Serbaguna Kampung Limbawan menjadi saksi kepada pertemuan penuh makna antara rakyat dan wakil mereka, Datuk Annuar Ayub Aman, yang tampil dengan cara berbeza — membentangkan ‘report card’ empat tahun khidmatnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan.
Tiada protokol besar, tiada jarak memisahkan. Yang hadir hanyalah seorang pemimpin yang mahu rakyat menilai sendiri hasil kerja yang sudah dilakukan, bukan sekadar mendengar janji atau retorik politik.
“Khidmat wakil rakyat tidak boleh diukur dengan kata-kata, tetapi melalui hasil kerja. Inilah Liawan yang kita usahakan bersama — daripada jalan raya hingga bantuan kebajikan, daripada komuniti kecil hingga projek pembangunan besar,” katanya dalam nada rendah hati namun tegas.
Sepanjang empat tahun, pelbagai inisiatif dilaksanakan, termasuk penambahbaikan infrastruktur, bantuan pendidikan, sokongan kepada petani serta perhatian khusus terhadap golongan rentan seperti ibu tunggal dan warga emas.
Setiap butiran yang dibentangkan bukan hanya angka, tetapi kisah hidup masyarakat yang pernah menerima manfaatnya.
Program yang diadakan bukan sekadar medan laporan pencapaian, sebaliknya ruang rakyat bersuara, bertanya soalan dan menyuarakan harapan.
Annuar tidak berdiri jauh di hadapan, sebaliknya duduk bersama mereka, mendengar satu persatu keluhan serta cadangan penduduk.
Bagi masyarakat Liawan yang hadir, pertemuan itu membuktikan kepimpinan sebenar tidak diukur melalui retorik indah, tetapi kejujuran, tindakan serta keberanian seorang pemimpin untuk berdepan rakyat dan bertanggungjawab terhadap amanah yang dipikul.
Di penghujung program, dewan sederhana itu bertukar menjadi jambatan kepercayaan, menghubungkan hati rakyat dan pemimpin melalui harapan bahawa Liawan mampu terus melangkah lebih jauh di bawah kepimpinan yang berani menilai diri di hadapan masyarakatnya sendiri.-pr/BNN