KENINGAU: Suasana meriah menyelubungi Gelanggang Terbuka Kelab Belia dan Sukan (KBS) Keningau, semalam apabila Kejohanan Bola Tampar Wanita Tertutup Piala Pusingan YB Datuk Annuar Ayub Aman membuka tirai dengan penyertaan 12 pasukan tempatan.
Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, yang menegaskan kepentingan sukan sebagai wahana membina disiplin, kepimpinan serta jati diri generasi muda.
“Nilai disiplin, kesabaran dan semangat juang yang diasah di gelanggang ini perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian bagi melahirkan masyarakat lebih berdaya saing,” katanya ketika berucap merasmikan kejohanan itu.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Penolong Bendahari Kehormat Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), YM Datin Tengku Adlina Marita Tengku Adlin.
Kejohanan yang disertai pasukan wanita sekitar Keningau itu bukan sekadar medan merebut kejuaraan, malah menjadi platform mencungkil bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat negeri dan kebangsaan.
Dalam saingan akhir yang penuh dramatik, Pasukan Rukut-Rukut muncul juara selepas menewaskan Tudan Baru yang berpuas hati sebagai naib johan. Tempat ketiga dimenangi Puspa Volley, manakala PERKEP B di kedudukan keempat.
Annuar turut merakamkan penghargaan kepada penganjur kerana berjaya menganjurkan kejohanan yang bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan, tetapi juga mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Dengan sorakan gemuruh penonton, setiap servis dan libasan daripada pemain wanita tempatan bukan sekadar mengutip mata kemenangan, sebaliknya mencetuskan harapan baharu terhadap masa depan sukan bola tampar di daerah ini.-pr/BNN