BINGKOR: Enam lorong di Lot Sandapak dicadangkan dinamakan sempena tokoh masyarakat berjasa dan legenda setempat sebagai usaha mengabadikan warisan komuniti untuk tatapan generasi akan datang.

Cadangan itu merangkumi penghargaan kepada mendiang Adrian Eswar Munting, mendiang Salim VG Nair, mendiang KK Bilulan Siun, serta aktivis masyarakat, mendiang Tony Munting Pawan yang dikenang kerana usaha gigih mereka memperjuangkan kelulusan rasmi tanah Lot Sandapak.

Turut dicadangkan ialah nama mendiang Katekis Aloysius Manjin Insing, pelopor gereja Katolik awal di Bingkor sekitar tahun 1960-an, yang berperanan besar mengembangkan kerohanian masyarakat Katolik melalui khidmatnya sebagai katekis.

Selain itu, satu lorong turut dicadangkan dinamakan Lorong Aki Kulanga, sempena legenda Dusun Gana tentang seekor mondou (raksasa sakti) yang dikatakan muncul ketika guruh dan hujan kencang.

Tapak batu peninggalannya yang dipercayai masih terdapat berhampiran tanah perkuburan Kristian dan Islam Kampung Sandapak, menjadi simbol kisah turun-temurun yang masih segar dalam ingatan masyarakat.

Penduduk Kampung Sandapak, Enggon Asong Atam Singgon, berkata penamaan lorong itu akan menjadi simbol penghargaan terhadap pengorbanan tokoh terdahulu, selain mengabadikan nama legenda komuniti untuk dikenang sepanjang zaman.

“Mereka telah berjuang demi komuniti ini; ada yang mengurus hal tanah sehingga berjaya, ada juga yang menjadi penggerak kerohanian masyarakat. Bahkan legenda tempatan seperti Aki Kulanga wajar dijadikan sebahagian daripada memori komuniti. Jasa dan kisah mereka patut dikenang sepanjang masa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sandapak, Ambrus Enggu Ungkiu, berkata cadangan itu selari dengan hasrat komuniti untuk mengekalkan warisan sejarah dan budaya setempat.

“Sebagai Ketua Kampung, saya menyambut baik cadangan ini kerana ia bukan sahaja mengangkat jasa tokoh terdahulu, malah mengeratkan lagi hubungan masyarakat dengan identiti mereka sendiri. Nama lorong ini kelak akan menjadi saksi kepada perjuangan dan kisah lama yang tidak boleh dilupakan,” katanya.

Pengerusi JKKK Kampung Sandapak, Rayner Adrian Eswar, pula berkata pihaknya akan meneliti cadangan itu bersama penduduk dan mengemukakannya kepada pihak berkuasa tempatan untuk pertimbangan lanjut.

“Kami mahu setiap lorong bukan sekadar nama, tetapi mempunyai nilai sejarah, budaya dan identiti yang dapat mendidik generasi baharu mengenai asal-usul mereka. Perkara ini akan dibincangkan secara bersama supaya ia dapat diterima semua pihak,” katanya.

Cadangan penamaan lorong itu dilihat sebagai penghormatan penuh nilai sejarah dan budaya, namun terbuka kepada perbincangan lanjut bersama Ketua Kampung, JKKK dan masyarakat setempat sebelum dimuktamadkan.-pr/BNN