RANAU: Bahagian Pendidikan Masyarakat (PENMAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh kolaborasi bersama Unit Integriti, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam menyebar advokasi antirasuah menerusi pelaksanaan Kem Angkatan Mahasiswa Antirasuah (Kem AMAR) Institusi Pendidikan MARA (IPMa) Siri 2, 2025 pada Ahad.

Kem yang berlangsung bermula 22 sehingga 24 Ogos di Damai Eco Ranch, Ranau kali ini melibatkan seramai 81 pelajar pelbagai jurusan pengajian, Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu antaranya Diploma Kompetesi Elektrikal, Diploma Teknologi Automotif 4WD, dan Diploma Teknologi Automotif.

Berucap pada majlis perasmian penutup program berkenaan, Pengarah PENMAS, Datuk TPj Ahmad Nizam bin Ismail menekankan peri-penting para pelajar menjunjung nilai integriti akademik dalam usaha melahirkan pelajar TVET yang mempunyai kompetensi tinggi dan berdaya saing apabila tamat pengajian kelak.

Jelas beliau, Integriti Akademik ini lazimnya dirujuk sebagai keaslian dalam menyelesaikan tugasan serta ketelusan dalam penilaian, adalah asas yang tidak boleh dikompromi.

Tambahnya, SPRM memandang tinggi mengenai integriti akademik ini, dan menyifatkannya sebagai pelaburan jangka panjang negara dalam melahirkan pemimpin masa depan yang bebas daripada rasuah, salah guna kuasa, dan penyelewengan.

Penubuhan 55 AMAR sehingga kini di seluruh negara adalah bukti kukuh komitmen berterusan pihak UI MARA sejak 2013 dalam menyebarluas mesej dalam melahirkan generasi pelapis kepimpinan negara yang teguh mempertahankan nilai integriti.

Sementara itu, Pengarah MARA Sabah Dr Shahrizin bin Hj Abdul Sarhadat yang berucap merasmikan program berkenaan menyambut baik inisiatif kem seumpama ini diadakan dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan lagi di masa depan.

Tegas beliau, pengukuhan nilai intergriti perlu diterapkan dalam diri setiap pelajar sebagai modal awal membina benteng moral tersebut.

Turut hadir, Pengarah SPRM Negeri Sabah, Datuk TPj Fuad Bee bin Hj Basrah, Pengarah IKM Kota Kinabalu Encik Abdul Munap bin Tahir, dan Pengetua MRSM Ranau, Encik Ismail bin Badri.-pr/BNN