KENINGAU: Dalam dunia politik, ibarat dunia kunci dan mangga, tidak semua kunci serasi dengan setiap mangga.
Ada kunci yang hanya mampu membuka satu pintu, ada pula yang menjadi master key, mampu membuka pelbagai ruang dengan tepat dan selamat.
Namun, mangga yang boleh dibuka oleh terlalu banyak kunci selalunya dianggap longgar, rapuh, dan tidak boleh dipercayai.
Begitulah hakikat politik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan. Rakyat tidak memerlukan pemimpin yang longgar prinsipnya, yang boleh “dibuka” oleh sesiapa sahaja demi kepentingan sementara.
Sebaliknya, mereka mahukan seorang kunci yang teguh, diyakini dan terbukti. Di sinilah nama Datuk Annuar Ayub Aman sering disebut sebagai kunci utama pembangunan Liawan.
Lebih daripada sekadar janji, kepimpinan beliau sudah menzahirkan hasil nyata. Dari memperkukuh pendidikan dengan menyokong sekolah luar bandar, membawa bantuan pertanian, melaksanakan program sosial sehinggalah mempererat perpaduan antara kampung, Annuar membuktikan tindakannya lebih lantang daripada kata-kata.
Itulah perbezaan seorang pemimpin yang benar-benar menjadi “kunci” kepada penyelesaian masalah rakyat, berbanding mereka yang hanya mencuba-cuba di pintu yang salah.
Sejak diberi amanah, Annuar tampil sebagai master key yang serasi dengan denyut nadi Liawan. Kehadirannya tidak hanya terbatas di Dewan Undangan Negeri, tetapi juga di ladang bersama petani, di sekolah bersama pelajar, di rumah ibadah bersama masyarakat, malah di sisi rakyat ketika mereka berdepan bencana atau kehilangan.
Gaya kepimpinannya yang bersifat silent service menjadikan beliau lebih dipercayai kerana rakyat melihat hasil kerja, bukan retorik semata-mata.
Pilihan Raya Negeri (PR akan datang bakal menguji kebijaksanaan rakyat Liawan. Adakah mereka rela menyerahkan masa depan kepada mangga yang boleh dibuka oleh terlalu banyak “kunci” yang tidak pasti, atau memastikan master key yang telah terbukti terus berada di tangan yang benar?
Jawapannya jelas. Jika Liawan mahu kekal terurus dan bergerak maju, rakyat perlu memastikan kunci itu tidak jatuh ke tangan yang salah.
Annuar bukan sekadar seorang pemimpin; beliau adalah kunci utama Liawan — master key yang telah membuka pintu pembangunan, perpaduan dan kesejahteraan untuk semua.-pr/BNN