KOTA MARUDU: Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) N.6 Bandau mencatat sejarah apabila lebih 3,000 orang hadir membanjiri lokasi program, sekali gus mencerminkan sokongan padu rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, yang menegaskan parti itu komited mengangkat suara rakyat Sabah, khususnya masyarakat pedalaman dan luar bandar, agar tidak lagi terpinggir daripada arus pembangunan negara.
“Sabah berhak mendapat pembelaan setimpal dengan sumbangannya kepada negara. KEADILAN akan memastikan suara rakyat Sabah terus didengar di peringkat tertinggi,” katanya.
Turut memberi penekanan, Muhammad Kamil Abdul Munim, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat merangkap Setiausaha Politik Menteri Kewangan, yang menyorot perhatian terhadap keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadap Sabah.
Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM6.7 bilion pembangunan untuk Sabah tahun ini, selain RM600 juta pemberian khas, di samping meluluskan projek Empangan Ulu Padas bernilai RM4 bilion bagi mengatasi isu bekalan air.
“Pengurusan kewangan negara yang telus tanpa ketirisan dan rasuah membolehkan kerajaan berjimat. Hasil penjimatan itu dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai bantuan termasuk STR dan SARA,” jelasnya.
Sementara itu, Naib Ketua Wanita Pusat merangkap Ketua Wanita KEADILAN Sabah, Datin Rufinah Pangeran, menegaskan kerusi DUN Bandau wajar diberikan kepada KEADILAN kerana usaha berterusan Ketua Cabang Kota Marudu, Zaidi Jatil, yang aktif turun padang sejak sekian lama.
Dalam ucapannya, Zaidi yang juga Ketua AMK Sabah menekankan pentingnya rakyat membuat pilihan bijak dalam PRN akan datang.
“Rakyat harus menilai kepimpinan berdasarkan tanggungjawab, kejujuran, idealisme serta hala tuju yang jelas. Parti tidak salah, tetapi memilih pemimpin yang salah adalah kesilapan besar,” katanya.
Pengarah program, Winston @ Hassnal Majuning, pula menyatakan pelancaran itu memperlihatkan kesepaduan jentera parti di semua peringkat termasuk Cabang, Wanita dan AMK, yang bertekad menggerakkan strategi kempen secara teratur serta profesional.
“Dengan semangat reformasi, KEADILAN Kota Marudu yakin momentum ini mampu membawa gelombang perubahan dalam PRN Sabah ke-17, seterusnya membuka lembaran baharu politik berteraskan nilai, keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat di Bandau,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Ketua AMK Pusat merangkap ADUN Kota Damansara, YB Izuan Kasim; Naib Pengerusi KEADILAN Sabah, Datuk Dr Haji Sangkar Rasam; Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu, Jamil Majingkin; Pengerusi DAP Kota Marudu, Ben Wong; serta Timbalan Ketua Kawasan AMANAH Kota Marudu, Salleh Jatil.-pr/BNN





