TUARAN: Seramai 25 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dari Daerah Keningau berjaya menamatkan Kursus Leadership Siri 2/2025 (Kepimpinan dan Pengurusan Rela) yang berlangsung selama dua hari di Pusat Latihan Rela Negeri Sabah, Kampung Gayang, di sini.

Kursus yang bermula pada 21 Ogos lalu itu memberi penekanan khusus kepada peranan Ketua Perhubungan Rela Kawasan (KPRK) dan Ketua Platun Rela (KPR) dalam aspek konsolidasi platun serta pengurusan maklumat.

Selain latihan teknikal, peserta turut didedahkan dengan modul kemahiran insaniah termasuk pengucapan awam, pengendalian mesyuarat dan komunikasi berkesan sebagai usaha melahirkan pemimpin akar umbi yang lebih dinamik.

Pegawai Rela Daerah Keningau, PgR Melvin Mark, berkata kursus berkenaan amat penting bagi memastikan setiap pemimpin di peringkat kawasan lebih cekap melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Kita mahu setiap KPRK dan KPR bukan sahaja memahami fungsi mereka, tetapi juga berupaya memimpin dengan yakin, berdisiplin serta menjadi penghubung yang efektif antara anggota dan komuniti setempat,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan kursus itu.

Menurutnya, penganjuran siri kedua kursus tahun ini juga membuktikan komitmen Rela dalam memperkukuh jaringan kepimpinan di peringkat daerah, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan anggota menghadapi sebarang tugasan operasi.

Kursus Leadership Siri 2/2025 itu dijangka diteruskan secara berfasa di seluruh Sabah bagi memastikan barisan kepimpinan Rela sentiasa bersedia mendukung peranan menjaga keselamatan, kesejahteraan masyarakat dan perpaduan komuniti.-pr/BNN