KENINGAU: Penduduk Bukit Lokuyon, Senagang Laut kini menikmati kemudahan jalan konkrit sepanjang 150 meter yang siap dinaik taraf bagi menghubungkan kawasan perkampungan dengan kebun mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, berkata projek kecil rakyat itu memberi impak besar kerana bukan sahaja memudahkan pergerakan hasil pertanian, malah melancarkan urusan harian penduduk.
“Kerja naik taraf ini sudah siap. Jika ada rezeki, kita akan tambah lagi supaya akses lebih selesa dan menyeluruh,” katanya ketika ditemui.
Penduduk kampung menyambut baik usaha berkenaan kerana jalan berkenaan sebelum ini sukar dilalui terutama ketika musim hujan, sekali gus menjejaskan keselamatan serta urusan keluar masuk.
Menurut mereka, jalan konkrit itu kini memberi jaminan perjalanan lebih lancar untuk menghantar hasil pertanian ke pekan, selain meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.-pr/BNN