KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman terus menunjukkan keprihatinannya terhadap pembangunan belia dan pengukuhan perpaduan komuniti dengan menyalurkan sumbangan kepada dua program utama di daerah ini, masing-masing membabitkan aktiviti belia dan sambutan bulan kemerdekaan.
Dalam usaha menyemarakkan semangat anak muda, Annuar menyalurkan sumbangan ikhlas bagi menjayakan Fun Run Kerasulan Belia Katolik Gereja St. Dominic yang akan berlangsung pada 30 Ogos ini di Kampung Linsosod.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pembantu Tadbir Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, Linda Mausin yang mewakili beliau, dan diterima oleh wakil jawatankuasa penganjur, Beverley Unkos di Pejabat UPPM Liawan.
Menurut penganjur, sokongan itu menjadi dorongan penting dalam menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan belia, selain memupuk perpaduan serta memperkukuh nilai kerohanian.
Bagi Annuar, setiap kegiatan positif belia adalah aset masa depan yang harus didukung.
“Kekuatan masyarakat lahir daripada perpaduan di peringkat akar umbi. Justeru, saya percaya apa juga usaha belia perlu diberi sokongan tanpa mengira latar agama atau budaya,” katanya.
Selain itu, Annuar turut menghulurkan sumbangan kepada program Sambutan Bulan Kemerdekaan 2025 peringkat Kampung Bayangan yang dianjurkan dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kg. Bayangan, Kelab Belia Kg. Bayangan serta Kelab Belia dan KRT Kg. Purakogis.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pemaju Mukim Luagan, Ruddy Gijau mewakili beliau, dan diterima oleh wakil penganjur, Nurul Nazihah Yuhimin.
Annuar menegaskan, inisiatif komuniti seperti sambutan kemerdekaan adalah wadah terbaik memperkukuh semangat kebersamaan.
“Merdeka adalah milik kita bersama. Apabila belia dan masyarakat kampung berganding bahu, kita bukan sahaja mengibarkan bendera, tetapi mengangkat semangat perpaduan yang menjadi asas kepada Liawan yang lebih terurus dan maju,” katanya.
Kedua-dua program ini bukan sahaja menekankan aspek kesihatan, kerohanian dan patriotisme, malah memperlihatkan penglibatan aktif belia serta masyarakat setempat dalam memperkukuh perpaduan di kawasan Liawan.-prBNN