KOTA KINABALU: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, memberi peringatan keras kepada rakyat Sabah agar tidak terperangkap dengan kandungan penerbitan dari Semenanjung yang disifatkannya cuba mempengaruhi persepsi politik negeri ini menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Beliau menegaskan, PRN17 adalah medan demokrasi khusus untuk rakyat Sabah menentukan kerajaan pilihan mereka sendiri, namun kini negeri ini semakin dihujani kempen terancang yang dicipta dan disebarkan dari luar Sabah.
“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, rakyat Sabah dibanjiri kandungan yang diatur secara sistematik dari Malaya. Ia bukanlah fenomena baharu, sebaliknya bermula sejak PRU13 ketika media sosial mula berpengaruh. Apa yang membimbangkan, modus operandi mereka kini jauh lebih canggih,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut Yong, SAPP pernah mengesan pada tahun 2018 bahawa 80 peratus serangan media sosial yang ditujukan kepada parti itu berpunca dari Johor.
Kini, katanya, ancaman tersebut berevolusi dengan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan ladang klik (click farms) yang lebih sukar dikesan.
“Pada peringkat awal, serangan dijalankan secara manual menggunakan akaun palsu. Tetapi hari ini kita berdepan ancaman lebih besar – akaun yang diselaraskan secara automatik, penyebaran video manipulatif serta komentar berbaur politik yang disalurkan seolah-olah dari rakyat Sabah sendiri. Hakikatnya, ia datang dari luar,” jelasnya
Beliau berkata, pasukan media dalaman SAPP mengesan kewujudan profil media sosial yang mencurigakan, termasuk ada yang mengaku berasal dari Dubai tetapi konsisten memberi ulasan mengenai isu politik Sabah.
“Ada juga akaun yang mendakwa dari Tawao – ejaan yang diputarbelit daripada Tawau. Lebih menghairankan, ada profil menggunakan nama Melayu tetapi boleh menulis dalam bahasa Cina dengan begitu fasih. Semua ini adalah tanda-tanda jelas akaun palsu,” katanya.
Yong turut mengingatkan rakyat Sabah mengenai tindakan undang-undang yang difailkannya bersama sejarawan Stephan Gaimin dan aktivis Asraf Amir terhadap portal Roketkini.com, yang dikaitkan dengan parti DAP.
“Pada 10 Julai lalu, kami memfailkan saman terhadap Roketkini.com yang sejak penubuhannya pada 2011 menjadi wadah propaganda DAP. Artikel yang diterbitkan portal itu pada 24 Februari 2013 mengaitkan gambar anggota bersenjata MNLF dengan insiden pencerobohan Tanduo, Lahad Datu. Ia satu fitnah kerana gambar itu langsung tiada kaitan dengan insiden sebenar,” katanya.
Menurut Yong, lebih mengejutkan apabila gambar berkenaan turut dipetik dalam sebuah buku terbitan Penerbit Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertajuk Kedaulatan Negara Harga Mati: Pencerobohan Sulu dan Dampaknya Kepada Keselamatan Pantai Timur Sabah.
“Apabila institusi akademik dan penulis yang dihormati pun boleh terperangkap dengan maklumat palsu, ia membuktikan betapa seriusnya ancaman kandungan luar terhadap Sabah,” katanya.
Yong mendedahkan, selepas saman difailkan, kandungan Roketkini.com yang dipersoalkan segera diturunkan dalam tempoh kurang 24 jam, hanya tinggal paparan ralat HTTP 404.
“Kemenangan pusingan pertama ini kami gelar ‘Hari ini bertindak, esok turun’. Namun lebih mengecewakan, pihak Roketkini.com dan DAP langsung tidak menunjukkan rasa kesal atau memohon maaf. Mereka seolah-olah merasakan tindakan mereka tidak membawa apa-apa implikasi terhadap rakyat Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan, sekiranya tindakan undang-undang itu tidak diambil, portal berkenaan pasti akan terus menyiarkan kandungan mengelirukan tanpa rasa tanggungjawab.
Mengulas lanjut, Yong menyeru rakyat Sabah agar sentiasa berhati-hati terhadap maklumat politik yang berlegar di media sosial, terutamanya yang datang dari luar negeri ini.
“Sabah tidak boleh menjadi medan percubaan bagi pihak luar yang mahu memanipulasi persepsi rakyat. PRN17 adalah tentang rakyat Sabah, dan hanya rakyat Sabah berhak menentukan hala tuju negeri ini,” tegasnya.
Beliau berkata, SAPP akan terus berperanan mendedahkan cubaan pihak luar yang menggunakan media digital untuk menguasai naratif politik di Sabah.
“Saya menyeru semua pihak supaya tidak mudah mempercayai kandungan daripada sumber meragukan. Rakyat Sabah mesti mempertahankan hak mereka untuk menentukan masa depan tanpa dipengaruhi propaganda luar,” katanya.
Kesimpulannya, Yong menegaskan perjuangan SAPP bukan sekadar soal politik kepartian, sebaliknya melindungi hak rakyat Sabah daripada dimanipulasi kandungan luar menjelang PRN17.-pr/BNN