KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah menegaskan kepentingan memelihara integriti serta martabat Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah sebagai sebuah institusi tertinggi yang mesti dihormati.

Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh, berkata jawatan TYT Sabah yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan sebahagian penting dalam kerangka Perlembagaan Negara dan menjadi lambang perpaduan, kesinambungan serta kedaulatan.

Beliau berkata, jabatan itu memandang serius penularan hantaran media sosial yang bersifat menghina, berunsur fitnah, palsu serta mengelirukan mengenai TYT, kerana ia bukan sahaja tidak berasas tetapi juga boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi berkenaan.

“Walaupun kebebasan bersuara dijamin Perlembagaan Persekutuan, ia mesti diamalkan secara bertanggungjawab. Penyebaran maklumat menghina atau mengelirukan boleh dianggap sebagai kesalahan serius di bawah undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1949 serta Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Brenndon turut mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi sebelum menyebarkannya, menggunakan media sosial secara berhemah serta menyedari bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang sengaja menyebarkan fitnah.

Katanya lagi, jabatan itu komited menegakkan kedaulatan undang-undang di samping menggalakkan dialog yang membina, saling menghormati serta penyebaran maklumat tepat sebagai tanda kematangan demokrasi di negeri ini.

“Istana Seri Kinabalu adalah warisan sejarah dan simbol nilai negeri Sabah yang mesti dihormati sepenuhnya. Menjadi tanggungjawab bersama untuk melindungi martabat TYT Sabah sebagai sebuah institusi yang mulia,” tegasnya. – pr/BNN