KENINGAU: Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Mukim Bunga Raya berlangsung penuh meriah dengan kehadiran ratusan penduduk setempat di Dewan Kg Tonobon Baru, di sini, semalam.

Program yang dianjurkan Persatuan Penggerak Masyarakat Keningau dengan kerjasama Pejabat Wakil Rakyat Bingkor serta UPPM Bingkor, bertujuan menyemarakkan semangat cintakan negara selain memupuk jiwa patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Pelbagai pengisian menarik disediakan antaranya pembukaan akaun bank oleh CIMB Bank Cawangan Keningau, promosi perlindungan insurans oleh Allianz, pemberian sim kad percuma oleh CelcomDigi, pemeriksaan mata dan kesihatan percuma, kempen derma darah, jualan Rahmah serta pertandingan mewarna kanak-kanak.

Turut menyerikan program itu ialah sumbangan roti kering daripada Kim Teck Cheong Consolidated Sdn Bhd untuk diagihkan kepada para pengunjung.

Dalam ucapannya, Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Keningau merangkap Penasihat Kehormat Persatuan Penggerak Masyarakat Keningau, Encik Rafie Robert, menegaskan bahawa perpaduan adalah kunci utama dalam mengekalkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.

“Perpaduan menjadi asas penting kepada kekuatan sesebuah masyarakat. Tanpa perpaduan, pembangunan tidak akan dapat dicapai secara menyeluruh,” katanya ketika menyempurnakan majlis itu.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar berwaspada dengan isu-isu yang tular di media sosial, khususnya berita palsu yang boleh menimbulkan fitnah serta menggugat keharmonian rakyat.-pr/BNN