KENINGAU : Kehadiran usahawan tempatan, Dato’ Ishak Ayub di majlis perkahwinan Regenna Ann Jakol dan pasangannya, Haddi Marcus, semalam mencuri perhatian ramai apabila beliau tampil sederhana dan mesra bersama masyarakat tanpa protokol, seolah-olah melengkapkan kemeriahan majlis bersejarah itu.

Regenna ialah anak kepada Jakol Wong Langkab, pesawah berjaya dan pengusaha kolam ikan air tawar AKI-AKI di Kampung Bingkor Lama. Majlis itu bukan sahaja memperlihatkan ikatan kekeluargaan, malah menjadi saksi keakraban seorang tokoh usahawan dengan masyarakat setempat.

Berbeza dengan gaya kebanyakan tokoh berprofil tinggi, Ishak lebih selesa duduk sebaris dengan masyarakat. Beliau dilihat beramah mesra, berbual santai dan bergelak tawa dengan tetamu yang hadir daripada pelbagai lapisan – daripada pemimpin akar umbi hingga komuniti kampung.

Bagi sebahagian tetamu, ia sekadar rutin seorang sahabat yang hadir meraikan majlis. Namun bagi yang lain, penampilan rendah diri itu dilihat sebagai gambaran seorang tokoh yang semakin dekat di hati rakyat dan berpotensi membawa wajah baharu dalam landskap politik Bingkor.

Kehadiran Ishak di majlis itu bukan sekadar memenuhi undangan, tetapi berakar pada hubungan kekeluargaan. Beliau mempunyai kaitan saudara melalui bapanya dengan ibu kepada Jakol Wong Langkab, menjadikan suasana majlis lebih akrab dan bermakna.

Tambahan pula, di kalangan masyarakat Mukim Bingkor, Ishak mesra dikenali dengan panggilan “Sulod” – perkataan dalam bahasa Dusun Gana yang membawa maksud saudara. Gelaran itu menegaskan lagi betapa rapatnya hubungan beliau dengan penduduk setempat.

Dato’ Ishak bukan nama asing dalam dunia keusahawanan. Keberadaan beliau di lapangan sosial, termasuk menghadiri majlis rakyat, memberi gambaran jelas bahawa kejayaannya tidak pernah memutuskan hubungan dengan akar umbi. Malah, bagi sebahagian hadirin, beliau dilihat sebagai contoh usahawan yang berjaya tetapi tetap membumi dan dekat dengan rakyat.

Walaupun majlis itu berteraskan kekeluargaan dan kemasyarakatan, ada tetamu yang melihatnya dalam konteks lebih luas – khususnya dalam perkembangan politik di Bingkor.

Nama Dato’ Ishak kini disebut-sebut sebagai antara tokoh yang mampu memberi nafas baharu kepada politik tempatan, hasil penerimaan masyarakat yang lahir secara semula jadi melalui keakraban beliau dengan rakyat.

Bagi mereka yang hadir, kehadiran seorang tokoh usahawan berjaya yang mesra rakyat itu memberi gambaran bahawa kepimpinan masa depan perlu lahir daripada golongan yang dekat dengan masyarakat, bukan sekadar melalui platform rasmi semata-mata.-pr/BNN