KENINGAU: Persatuan Gana Sabah (PGS) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap satu video tular di TikTok yang didakwa menghina masyarakat Kadazan-Dusun-Murut-Rungus (KDMR) di negeri ini.

Naib Presiden PGS, Julian F. Lian @ Mohd Hafiz, menegaskan kandungan video berdurasi 1 minit 26 saat itu bukan sahaja menghina kaum KDMR, malah turut menjadikan Batu Sumpah Keningau – simbol bersejarah dan penyatuan rakyat Sabah – sebagai latar belakangnya.

Menurut beliau, penghinaan sedemikian tidak boleh dibiarkan kerana berpotensi mencetuskan keresahan masyarakat serta menjejaskan keharmonian kaum yang menjadi asas kestabilan negeri.

“Perbuatan menghina etnik KDMR dan memperlekehkan Batu Sumpah merupakan ancaman kepada keharmonian masyarakat. Tindakan undang-undang segera perlu diambil bagi mengekalkan perpaduan dan keamanan negeri,” katanya di sini, semalam.

Julian, yang juga bekas Ketua Daerah Keningau, menyokong gesaan Setiausaha Politik Presiden UPKO, Carl Moosom, agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) segera bertindak menurunkan video terbabit dan menyekat penularannya di semua platform media sosial termasuk TikTok, Facebook dan Instagram.

Beliau turut mendesak agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan rapi terhadap individu atau pihak yang bertanggungjawab menghasilkan video berkenaan, seterusnya mendakwa mereka di mahkamah.

Julian menegaskan tindakan provokatif seperti itu bukan sahaja memberi kesan kepada masyarakat Sabah, malah boleh mencemarkan persepsi hubungan kaum di peringkat nasional.

“Sabah hidup dalam kepelbagaian. Tindakan menghina dan provokatif tidak akan melemahkan semangat rakyat yang cintakan keamanan, perpaduan, dan sejarah negeri ini,” ujarnya.

Dalam masa sama beliau menyeru masyarakat Sabah agar kekal berwaspada, bersatu hati dan tidak terpengaruh dengan cubaan mana-mana pihak yang sengaja menimbulkan provokasi perkauman demi kepentingan tertentu.-pr/BNN