KENINGAU: Presiden Persatuan Pengusaha Tanaman Sacha Inchi Sabah, Julian F. Lian @ Mohd Hafiz, berkesempatan berbincang secara bersemuka dengan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, sempena program FAMA Fest @ Sabah 2025 yang berlangsung di Dataran Keningau, kelmarin.

Pertemuan ringkas itu dimanfaatkan Julian untuk menyuarakan beberapa isu dan cadangan berhubung potensi tanaman Sacha Inchi sebagai produk baharu yang mampu menjana pendapatan usahawan tani di Sabah.

Beliau turut menekankan kepentingan sokongan kerajaan bagi memperkukuh rantaian nilai industri pertanian di negeri ini.

FAMA Fest @ Sabah 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 Ogos hingga 31 Ogos, mendapat sambutan menggalakkan dengan pelbagai pengisian program menarik.

Antaranya termasuk jualan dan pameran hasil pertanian, promosi produk usahawan tempatan, Food Empire, Petting Zoo, kaunter perkhidmatan kerajaan, jualan AgroMadani, selain pelbagai pertandingan, cabutan bertuah serta persembahan artis tempatan.

Program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu menjadi platform penting kepada usahawan tani serta komuniti luar bandar untuk memasarkan produk, selain memperkukuh jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan.-pr/BNN