KENINGAU: Semangat kemerdekaan diterjemahkan dalam suasana penuh makna di Keningau apabila Ketua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Liawan, Yang Mulia Datin Tengku Adlina Marita Tengku Adlin, menghadiri Jamuan Mesra bersama masyarakat pelbagai kaum dan agama, semalam.

Tengku Adlina, yang juga isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, disambut meriah dalam majlis berkonsepkan kebersamaan itu yang dihadiri pelbagai pertubuhan masyarakat termasuk Persatuan Wanita Cina Keningau, Wanita Tujuh Persatuan Keturunan, Tzu Chi Buddhist Foundation serta Morning Linedance Group.

Majlis sederhana itu sarat dengan mesej perpaduan apabila hadirin daripada pelbagai latar belakang budaya berkongsi meja, bersembang mesra serta bergelak tawa, sekali gus mencerminkan keharmonian yang menjadi teras kekuatan masyarakat Liawan.

Kehadiran Tengku Adlina juga dianggap simbol kasih sayang dan perhatian seorang pemimpin wanita kepada komuniti, selain menjadi jambatan yang menyatukan rakyat tanpa mengira bangsa, budaya atau agama.

“Bagi kami di Liawan, apa yang lebih penting bukan sahaja pembangunan fizikal, tetapi bagaimana pemimpin dan keluarga mereka dekat dengan rakyat, memahami keperluan serta memberi sokongan moral,” kata seorang hadirin.

Melalui pendekatan sebegini, kepimpinan Annuar bersama pasangannya dilihat terus memperkukuh visi Liawan Terurus, Liawan Maju, dengan asas perpaduan dan keharmonian sebagai tonggak kemajuan.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Masyarakat Cina (KMC) Keningau, Kapitan Anthony Chong Kong Ming, serta Kapitan Misha Ho.-pr/BNN