KENINGAU: Seramai 21 pelajar Biro Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Semester 3, Pra-Universiti SMK Bingkor sesi 2024/25 bersama empat guru penasihat berjaya menjayakan program khidmat masyarakat dan sumbangan amal di Persatuan Bagi Orang-Orang Pekak Sabah, Cawangan Keningau, baru-baru ini.
Program yang bertujuan memupuk semangat sukarelawan, keprihatinan sosial dan rasa tanggungjawab terhadap komuniti itu disambut meriah dengan kehadiran warga persatuan sebaik rombongan tiba di lokasi.
Pengarah Projek, Muhammad Nur Hazim, berkata sumbangan yang disalurkan adalah hasil daripada Jualan Amal Pakaian Terpakai, Novel dan Majalah Prelove yang diadakan selama seminggu di sekolah, dengan sokongan penuh warga pelajar, guru serta Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) SMK Bingkor.
“Sumbangan ini diharap dapat membantu menyokong keperluan pendidikan khas yang disediakan di sekolah persatuan ini,” katanya.
Sumbangan wang berkenaan disampaikan oleh Muhammad Nur Hazim kepada Penyelaras Persatuan, Francisca, dalam satu majlis ringkas yang turut dihadiri warga sekolah khas berkenaan.
Selain penyampaian sumbangan, pelajar PRS turut menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah serta mengikuti sesi pembelajaran bahasa isyarat bersama tenaga pengajar kanak-kanak pekak, sekali gus mempererat hubungan sekolah dengan komuniti setempat.
Ketua Guru Penasihat PRS, Angelin Linus, berkata program itu memberi nilai tambah kepada pelajar bukan sahaja dari aspek kokurikulum, tetapi juga pembentukan karakter dan kesedaran sivik.
“Program ini bukan sekadar aktiviti kokurikulum, tetapi usaha mendidik pelajar agar lebih prihatin serta menghargai golongan kurang upaya,” katanya.
PRS SMK Bingkor turut merakamkan penghargaan kepada semua guru penasihat — Ema Suriati Mohd Ridzuan, Justine Salim, Mariam Halim dan Jahari Laji @ Mohd Fazril Abdullah — serta pelajar yang menjayakan program berkenaan dengan penuh dedikasi.-lpr/BNN





