KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) menegaskan bahawa penggunaan teknologi secara beretika perlu menjadi panduan utama dalam membina masa depan negeri ini, khususnya ketika masyarakat semakin terdedah dengan penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) dan media digital.

Ketua Maklumat SAPP, Chin Vui Kai, berkata perkembangan teknologi sememangnya membawa pelbagai manfaat, namun pada masa sama turut membuka ruang kepada penyebaran maklumat palsu yang mampu mengganggu-gugat wacana awam serta menjejaskan keharmonian masyarakat.

Beliau memberi amaran berhubung fenomena “ladang telefon AI” yang membanjiri media sosial dengan kandungan palsu serta perbualan rekaan yang bertujuan memanipulasi pandangan orang ramai.

Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, pula menegaskan bahawa propaganda terancang terhadap Sabah bukanlah perkara baharu, malah sudah berlarutan lebih sedekad. Beliau merujuk portal roketkini.com sebagai contoh penyebaran maklumat yang bersifat menghasut dan menyasarkan rakyat negeri ini.

“Serangan berbentuk maklumat palsu ini menunjukkan bagaimana teknologi boleh dijadikan senjata untuk memesongkan pandangan umum sekiranya tiada kawalan dan standard etika,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi SAPP, Lim Kat Chung, mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan lebih proaktif terhadap penipuan digital termasuk ‘deepfakes’, penularan berita palsu, dan kegiatan ‘cyber trooper’.

Beliau menegaskan taktik ‘astroturfing’ atau kempen palsu kini menjadi sebahagian daripada industri teknologi gelap yang direka khusus untuk mengelirukan rakyat.

SAPP turut menyorot kes tular baru-baru ini melibatkan sepasang warga emas yang terpedaya dengan iklan palsu berhubung kewujudan kereta kabel di Perak. Kandungan tersebut, yang dicipta sepenuhnya menggunakan teknologi AI, menyebabkan pasangan berkenaan sanggup mengeluarkan wang dan melakukan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Perak untuk mengunjungi pusat pelancongan rekaan itu.

“Kes ini jelas membuktikan betapa mudahnya masyarakat menjadi mangsa jika mereka menerima kandungan digital tanpa mempersoalkan kesahihannya,” kata Chin.

Menurut Chin, SAPP tidak menolak pembangunan teknologi, sebaliknya mahu ia berkembang berpandukan tujuh nilai utama parti iaitu perpaduan, komitmen, khidmat, kredibiliti, disiplin, ketabahan dan kemajuan.

“Dengan nilai-nilai ini, SAPP akan terus memperjuangkan penggunaan teknologi beretika supaya AI menjadi pemacu kepada pendidikan, inovasi dan peluang baharu, bukan alat penyalahgunaan,” tegasnya.

Katanya, Sabah berhak menikmati ekosistem digital yang berteraskan kebenaran, integriti dan tanggungjawab, sambil menegaskan komitmen SAPP untuk mempertahankan kemajuan serta prinsip demi kepentingan rakyat.-pr/BNN