KENINGAU: Program Gotong-Royong Perdana anjuran Biro Jawatankuasa Kebersihan dan Keceriaan Masjid Nur Hidayah, Pekan Bingkor, berjaya dilaksanakan penuh semangat apabila lebih 50 ahli kariah, penduduk sekitar serta sukarelawan berganding bahu menceriakan kawasan masjid, semalam.

Seawal jam 8 pagi, peserta berkumpul di perkarangan masjid dengan membawa kelengkapan kerja termasuk mesin pemotong rumput, gergaji berantai, parang serta peralatan pembersihan lain. Program dimulakan dengan bacaan doa sebelum kerja gotong-royong membersihkan bahagian dalam dan luar masjid dijalankan.

Aktiviti yang dilaksanakan meliputi pemotongan rumput, memangkas pokok, membersihkan longkang serta kerja penyelenggaraan asas di kawasan sekitar. Suasana ceria dan kerjasama erat dalam kalangan peserta jelas mewarnai sepanjang program berlangsung.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran dan Pengurusan Masjid Nur Hidayah, Hj Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik @ Charles, menzahirkan penghargaan atas sokongan padu masyarakat yang hadir menjayakan usaha itu.

“Saya amat terharu melihat semangat ditunjukkan ahli kariah dan masyarakat setempat. Kehadiran serta sumbangan tenaga membuktikan bahawa masjid bukan sahaja rumah ibadah, tetapi juga pusat penyatuan dan kekuatan komuniti,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran gotong-royong bukan sekadar menjaga kebersihan persekitaran masjid, malah menjadi medium mengeratkan silaturahim dan memupuk rasa kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, masjid perlu diperkasakan bukan sahaja sebagai tempat solat berjemaah, tetapi juga pusat pembangunan ummah.

“Gotong-royong ini mendidik generasi muda tentang nilai kerjasama, kepedulian dan rasa tanggungjawab. Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan secara berkala dan menjadi budaya masyarakat kita,” jelasnya.

Selesai aktiviti, peserta diraikan dengan jamuan makanan dan minuman yang disediakan pihak masjid. Suasana santai itu menyerlahkan lagi ukhuwah yang terjalin sepanjang program.

Program Gotong-Royong Perdana Masjid Nur Hidayah bukan sahaja berjaya meningkatkan tahap kebersihan serta keceriaan, malah memperkukuh perpaduan kariah dan penduduk setempat. Ia membuktikan bahawa apabila masyarakat berganding bahu, segala urusan dipermudahkan dan membawa keberkatan bersama.-pr/BNN