KENINGAU: Usaha memperkukuh sektor pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) di daerah ini terus diperkasa menerusi penganjuran “Program Engagement with Community-Based Tourism (CoBT)” di Taman Bandukan Riverside Resort, hari ini.

Program anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Daerah Keningau dengan kerjasama Keningau Tourism & Cultural Association (KeTCA) serta Lembaga Pelancongan Sabah (STB) itu berjaya menarik hampir 100 peserta.

Mereka terdiri daripada pengusaha produk pelancongan dan kraftangan, wakil jabatan serta agensi kerajaan, pertubuhan kebudayaan Dusun Gana, Kujau, Liwan dan Murut Nabai, pelajar Geomatika College Keningau serta sukarelawan pelancongan (voluntourism).

Antara pengisian utama ialah sesi perkongsian ilmu oleh Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jimit dan wakil Tourism Malaysia Sabah, Darryl Hamzah, yang menekankan kepentingan inovasi serta kualiti dalam memajukan produk pelancongan.

Menurut Pengerusi KeTCA, Rafie Robert, program seumpama itu penting kerana memberi motivasi, galakan dan pengetahuan baharu kepada pemain industri, selain membuka ruang kerjasama lebih luas antara komuniti dan agensi pelancongan.

“Penganjuran program ini mampu meningkatkan kualiti produk pelancongan tempatan, selain membuka peluang baharu kepada pengusaha untuk menembusi pasaran lebih luas,” katanya.

Beliau yakin inisiatif sebegini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri pelancongan Keningau, sekali gus memberi manfaat berterusan kepada masyarakat setempat.-pr/BNN