KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau terbabit dalam perbualan WhatsApp yang tular baru-baru ini, sambil menyifatkannya sebagai fitnah jelik yang direka untuk memburukkan reputasinya serta mencemar imej Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Nizam yang juga Ketua Penerangan Gagasan Rakyat berkata, beliau sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu petang semalam, selain mengarahkan peguamnya mengeluarkan Notis Tuntutan (LOD) terhadap seorang individu bernama Tandiko Bin Dalusin atau dikenali dengan akaun Facebook “Huzaifah Al-Likasi”, yang didakwa dalang utama penyebaran tangkap layar palsu berkenaan.
“Saya tidak pernah menghantar mesej yang ditularkan itu. Ia fitnah direka dengan niat jahat untuk menjatuhkan saya serta mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurut Nizam, fitnah berunsur politik kotor itu jelas tidak berasas apabila Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman sendiri dalam satu siaran langsung tengah hari semalam mengakui bahawa tangkap layar WhatsApp berkenaan adalah palsu.
“Pengakuan pemimpin pembangkang itu membuktikan mesej tersebut adalah rekaan semata-mata dan tiada kaitan dengan saya,” katanya.
Beliau menegaskan, politik seharusnya berlandaskan hujah, fakta dan idea, bukannya fitnah dan manipulasi yang bukan sahaja mencemarkan nama baik seseorang, malah berpotensi menimbulkan keresahan awam, khususnya apabila dikaitkan dengan isu sensitif seperti “Justice for Zara”.
“Saya menyerahkan kepada pihak berkuasa termasuk PDRM dan SKMM untuk mengambil tindakan segera terhadap pihak-pihak yang terlibat,” katanya.
Dalam masa sama, Nizam turut mengulas mengenai himpunan Justice for Zara Qairina di Tawau pada 31 Ogos lalu, yang disifatkannya sebagai tanda solidariti masyarakat terhadap kematian tragis kanak-kanak itu.
Beliau menghormati hak masyarakat menyuarakan keprihatinan dan menuntut keadilan, namun mengingatkan agar himpunan berkenaan tidak dicemari dengan ucapan atau tindakan melampaui batas undang-undang.
“Pihak polis telah bertindak berhubung insiden ucapan berunsur hasutan yang berlaku semasa perhimpunan itu, dan kita menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan. Apa yang lebih utama sekarang adalah memastikan fokus masyarakat tidak teralih daripada matlamat sebenar iaitu mencari kebenaran, keadilan, dan penyelesaian jangka panjang bagi keselamatan pelajar kita,” katanya.
Nizam turut menegaskan: “Kebenaran tetap akan mengatasi kebatilan.”-pr/BNN