KENINGAU: Gelanggang bola tampar di Kampung Tudan Baru kini siap diselenggara dengan lebih baik, sekali gus memberi kemudahan selesa dan selamat kepada penduduk, khususnya golongan belia yang aktif dalam kegiatan sukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, berkata usaha itu membuktikan komitmen kepimpinan kawasan untuk memperkasa belia melalui pembangunan kemudahan asas sukan.

“Syukur alhamdulillah, gelanggang bola tampar Kampung Tudan Baru kini siap diselenggara. Belia di sini sangat aktif, dan dengan kemudahan lebih baik ini mereka akan lebih bersemangat menyertai kegiatan sukan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kemudahan tersebut.

Beliau berkata, penyelenggaraan kemudahan sukan seperti itu bukan sahaja mendorong penglibatan belia dalam aktiviti riadah, malah mampu membina disiplin, semangat kesukanan dan mengelakkan mereka daripada terjebak dengan gejala negatif.

“Usaha ini selaras dengan agenda DUN Liawan untuk memupuk kesejahteraan rakyat, memperkukuh perpaduan melalui sukan, serta menyediakan ruang kepada generasi muda menyalurkan tenaga secara positif.

“Belia kuat, rakyat sejahtera, Liawan tatap maju,” katanya.-pr/BNN