KENINGAU: Slogan keramat “Manang Lagi” yang semakin lantang dilaungkan penyokong kini bergema sebagai “warcry” penuh semangat, mencetuskan emosi kebersamaan serta melambangkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman.
Fenomena itu semakin terserlah ketika program Mirumoh-rumoh bersama penduduk di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Banjar, yang berlangsung di Dewan Serbaguna Profesor Datuk Yap Yun Fook, Kampung Kadalakan, baru-baru ini.
(Mirumoh-rumoh dalam bahasa tempatan bermaksud santai sembang-sembang antara pemimpin dan rakyat, mencerminkan suasana mesra dan kekeluargaan.)
Annuar menzahirkan rasa terharu terhadap sokongan tidak berbelah bahagi masyarakat, sambil menegaskan beliau akan terus berkhidmat untuk rakyat tanpa mengenal penat lelah.
“Saya sangat terharu kerana warcry ini bukan sekadar laungan, tetapi tanda kepercayaan rakyat terhadap perjuangan kita bersama.
“Apa yang penting, saya akan terus bekerja tanpa henti untuk kawasan kita – dari kampung ke kampung, mendengar suara rakyat, dan memastikan setiap pembangunan benar-benar dapat dirasai.
“Bagi saya, kemenangan sebenar ialah apabila rakyat mendapat kesejahteraan. Dengan doa dan sokongan semua, insya-Allah kita tatap akan Manang Lagi,” katanya.
Sokongan terhadap slogan itu turut bergema di media sosial apabila warganet membanjiri ruang komen dengan mesej positif, antaranya:
“Yes, you have done a great job so far Datuk. You deserve to be given another term.”
“Fikir-fikir dulu Datuk hehe – daripada penyokong atas pagar yang hampir memihak kepada kem Annuar.”
“YB pilihan hati rakyat Dun Liawan N.41, kompom manang lagi Datuk!”
“Mudah-mudahan manang lagi insha-Allah.”
“Rugi penduduk Liawan kalau tidak sokong YB yang rajin turun padang.”
“Semoga ADUN ini kekal! All the best Datuk Annuar Ayub Aman. Anda pemimpin yang sangat berkelayakan dan terbaik.”
Ungkapan “Manang Lagi”, slang Sabah yang bermaksud menang lagi, kini menjadi lebih daripada sekadar slogan politik. Ia muncul sebagai simbol penyatu semangat rakyat Keningau, membangkitkan keyakinan dan solidariti dalam memastikan kesinambungan pembangunan di Liawan.
Dengan semakin hampirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, gema warcry itu memberi isyarat jelas bahawa Annuar terus menjadi pilihan hati majoriti masyarakat Liawan – seorang pemimpin yang rajin turun padang, mendengar suara akar umbi, dan menzahirkan kepimpinan berasaskan tindakan, bukan sekadar janji.-pr/BNN