KENINGAU: Program Jalinan Kasih Rakyat DUN Bingkor yang digabungkan dengan sambutan Hari Malaysia bakal berlangsung Sabtu ini, 6 September, bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari di Dewan Kampung Dangulad, Bingkor.
Program anjuran Pejabat Wakil Rakyat N.40 Bingkor dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Bingkor itu bertujuan mendekatkan pemimpin dengan masyarakat setempat selain menyemarakkan semangat cintakan tanah air di peringkat akar umbi.
Antara pengisian menarik termasuk Jualan Rahmah, Kempen Derma Darah, Kaunter Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sabah, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, pemberian simkad percuma serta Roadshow Pendidikan melibatkan institusi pengajian tinggi.
Program ini adalah inisiatif Datuk Robert Tawik, Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, yang menegaskan ia sebahagian daripada agenda pembangunan masyarakat yang sentiasa diberi perhatian beliau.
“Jalinan Kasih Rakyat bukan sahaja untuk membantu meringankan beban rakyat melalui Jualan Rahmah, tetapi juga membuka ruang kepada masyarakat mendapatkan perkhidmatan agensi kerajaan, pendidikan serta kesihatan secara langsung. Sambutan Hari Malaysia yang kita raikan bersama ini menzahirkan semangat kebersamaan dan cinta akan tanah air,” katanya.
Program yang menghimpunkan pelbagai bentuk perkhidmatan, bantuan dan aktiviti kekeluargaan ini dijangka mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Selaras dengan tema Sabah Maju Jaya serta aspirasi Bingkor Membangun Bersama Rakyat, penganjuran ini diharap mampu memperkukuh perpaduan masyarakat sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan rakyat di kawasan Bingkor.
Orang ramai khususnya penduduk sekitar Mukim Tuarid Taud, Bandar Keningau dan kawasan sekitarnya dijemput hadir beramai-ramai memeriahkan program ini serta bersama-sama menyambut Hari Malaysia dengan penuh semangat kebersamaan.-pr/BNN