KENINGAU: Prihatin terhadap keperluan pesakit thalassemia dan mereka yang menjalani transfusi darah berulang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, menyerahkan 20 unit Disferal Machine kepada Hospital Keningau baru-baru ini.

Sumbangan berkenaan dijangka memberi impak besar dalam meningkatkan mutu rawatan pengikatan zat besi (chelation therapy) di hospital itu, sekali gus meringankan beban pesakit dan keluarga yang berdepan kos rawatan berpanjangan.

Menurut pihak hospital, mesin berkenaan membolehkan rawatan dijalankan dengan lebih efisien, selamat dan melibatkan lebih ramai pesakit berbanding sebelum ini.

Turut hadir menyaksikan penyerahan itu ialah isterinya, YM Datin Tengku Adlina Marita Tengku Adlin, yang juga Ketua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) Liawan; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Fred Toyong; Penyelia Kemajuan Masyarakat UPPM, Heldahwati Juhasin; Ketua Masyarakat Cina (KMC) Keningau, Kapitan Anthony Chong Kong Ming serta Kapitan Hoh Mei Hah @ Adeline.

Kehadiran mereka mencerminkan sokongan padu pelbagai lapisan masyarakat terhadap usaha murni ini.

Seorang pesakit ketika ditemui melahirkan rasa terharu dengan sumbangan tersebut.

“Kami jarang melihat pemimpin turun sendiri dan prihatin terhadap masalah kesihatan kami. Kehadiran Datuk Annuar memberi semangat baharu dan membuatkan kami rasa dihargai,” katanya.

Bagi Annuar, tindakan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial seorang wakil rakyat yang tidak boleh hanya berakhir dengan janji.

“Kesihatan adalah hak semua, dan setiap usaha kecil untuk meringankan beban mereka yang sakit adalah bukti bahawa kepimpinan bermakna tindakan, bukan retorik semata-mata,” jelasnya.

Beliau menegaskan pendekatan kepimpinan yang diamalkan berteraskan konsep silent service, iaitu memberi tanpa menunggu sorotan media atau perhatian umum, sebaliknya menumpukan kepada impak nyata terhadap kehidupan rakyat.

Setiap senyuman pesakit dan kelegaan keluarga yang terbeban, katanya, adalah bukti bahawa empati dan kepedulian mampu menyentuh hati rakyat lebih mendalam berbanding kata-kata.-pr/BNN