LAHAD DATU: Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengadakan tinjauan dan pengujian kualiti liputan komunikasi di Kampung Sepagaya, Lahad Datu, Sabah bagi menilai prestasi serta tahap kesiapsiagaan penyedia perkhidmatan komunikasi (telco) dalam menghadapi Monsun Timur Laut.

Melalui ujian bersama CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL menggunakanaplikasi MCMC NEXUS menunjukkan menara komunikasi di kawasan tersebut mampu mencapai kelajuan hingga 300Mbps bagi rangkaian 5G dan 80Mbps bagi 4G, sekali gus memanfaatkan kira-kira 3,800 penduduk setempat.

Setakat 31 Julai 2025, liputan Internet di kawasan berpenduduk di Sabah telah mencapai 95.30%, peningkatan ketara berbanding 73.41% sebelum pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Bagi memastikan perkhidmatan komunikasi kekal stabil sepanjang musim banjir, semua telco diminta menambah kapasiti rangkaian serta menyediakan bekalan kuasa sokongan, termasuk genset dan sistem hibrid solar, memandangkan Kampung Sepagaya merupakan lokasi berisiko banjir ketika Monsun Timur Laut.

Selain usaha memperkukuh kualiti liputan, dua (2) Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berdekatan iaitu NADI Kampung Sepagaya dan NADI Layung Industrial turut disediakan untuk kegunaan komuniti bagi pelbagai perkhidmatan digital selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk meningkatkan ketercapaian digital, memacu pembangunan sosioekonomi serta memperkukuh agenda pendigitalan negara.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Dato’ Seri Mohamad Fauzi bin Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.-pr/BNN