KENINGAU: Saat banjir menjejaskan kehidupan penduduk Kampung Labak, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan, tampil menunjukkan kepimpinan berasaskan tindakan apabila turun padang meninjau kesan bencana bersama Dato’ Mohd Ishak Datuk Ayub, Timbalan Penyelaras STAR Sabah Parlimen Keningau, pagi tadi.

Kehadiran mereka turut disertai pegawai Pejabat Daerah Keningau, wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), UPPM Bingkor, kakitangan pusat khidmat Parlimen Keningau serta pastor dan jemaat Gereja Betani yang terkesan akibat banjir.

Dr Jeffrey, yang juga Ahli Parlimen P.180 Keningau merangkap ADUN N.39 Tambunan, berkata kepimpinan sebenar tidak hanya diukur pada kata-kata, sebaliknya perlu dizahirkan dengan keberanian bersama rakyat ketika mereka ditimpa musibah.

“Kepimpinan bukan sekadar janji, tetapi hadir bersama masyarakat di saat mereka memerlukan,” katanya sambil menasihatkan penduduk agar terus berwaspada menghadapi cuaca tidak menentu.

Selain meninjau kerosakan pada gereja, kedua-dua pemimpin turut mendengar keluhan masyarakat setempat, memberi sokongan moral dan menyalurkan bantuan awal kepada komuniti yang terjejas.

Penduduk Kampung Labak dan jemaat gereja melahirkan rasa syukur serta terharu dengan keprihatinan ditunjukkan, menyifatkan kehadiran Dr Jeffrey dan Ishak sebagai bukti kepimpinan mesra rakyat yang turun mendengar masalah di lapangan.

Kehadiran kedua-dua pemimpin itu bukan sahaja memberi semangat kepada penduduk dalam menghadapi fasa pemulihan pasca-banjir, malah menyerlahkan nilai empati dan keprihatinan dalam mendampingi rakyat.

Di sebalik derasnya arus banjir, kehadiran mereka menjadi jambatan kekuatan komuniti — membuktikan bahawa kepimpinan sejati bukan hanya hadir ketika senang, tetapi berdiri teguh bersama rakyat ketika diuji.-pr/BNN