KENINGAU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan turun padang meninjau beberapa buah kampung di Bingkor yang terjejas akibat banjir besar baru-baru ini.
Lawatan kerja itu turut diiringi Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.40 Bingkor, Junior Fred, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin. Pelbagai agensi kerajaan turut hadir bagi menilai tahap kerosakan infrastruktur dan keselamatan penduduk di kawasan terlibat.
Antara lokasi ditinjau ialah Kampung Awas-Awas, Kota Ayangan dan Tuarid Taud. Di Kampung Kota Ayangan, sebuah bangunan Gereja Bethany rosak teruk apabila dinding runtuh akibat hakisan air deras di bahagian belakang bangunan.
Jambatan konkrit utama di kawasan itu juga putus dan tidak lagi boleh digunakan, sekali gus menyukarkan penduduk menjalankan urusan harian termasuk ke sekolah, tempat kerja dan pusat ekonomi.
Di Kampung Tuarid Taud pula, runtuhan tebing Sungai Pamalan dilaporkan semakin serius dan kini mengancam dua buah rumah berhampiran. Struktur asas kediaman berkenaan berisiko terjejas sekiranya aliran sungai terus menghentam tebing tanpa kawalan.
Dalam tinjauannya, Dr. Jeffrey menegaskan keperluan tindakan segera daripada pihak berwajib bagi menjamin keselamatan penduduk serta mempercepatkan kerja pemulihan infrastruktur kritikal.
“Keselamatan penduduk mesti menjadi keutamaan. Saya mahu JKR dan JPS segera melaksanakan langkah intervensi bagi mengelak keadaan daripada bertambah buruk,” katanya.
Sementara itu, Datuk Robert dalam kenyataan berasingan menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Ketua Menteri atas keprihatinan turun padang meninjau sendiri kerosakan akibat banjir di kawasan Bingkor.
Beliau turut melahirkan rasa simpati terhadap penduduk terjejas dan berharap mereka tabah menghadapi ujian tersebut.
“Pasukan khas telah diarah untuk segera mengenal pasti keperluan penduduk yang terjejas serta mengatur langkah bantuan segera,” katanya.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Azeri; wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Keningau; Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS); Majlis Daerah Keningau; Konsesi PKM; staf UPPM Bingkor; Pusat Khidmat P.180 Keningau; Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terlibat; juruteknik ICU Persekutuan serta pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan.
Kehadiran pelbagai pihak itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dan agensi teknikal dalam memastikan kerja pemulihan infrastruktur dan keselamatan penduduk dapat dilaksanakan dengan segera.-pr/BNN