KENINGAU: Dalam hiruk-pikuk politik, kepedulian terhadap rakyat kecil tetap diutamakan apabila Parti Tindakan Demokratik (DAP) Parlimen Keningau melaksanakan Program Ziarah Kasih bagi menyantuni warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit di beberapa kampung sekitar Liawan.
Menerusi program berkenaan, bakul makanan diagihkan kepada penduduk yang benar-benar berdepan cabaran hidup, antaranya di Kampung Linsosod, Kampung Ulu Liawan dan Kampung Jaya Baru.
Penyelaras DAP Parlimen Keningau, Grelydia Gillod, berkata program itu bukan sahaja menyalurkan bantuan asas, malah menjadi ruang untuk mendengar sendiri keluhan masyarakat.
“Ziarah Kasih ini usaha kecil kami menyantuni mereka yang sering terpinggir — warga emas, OKU dan pesakit. Ia simbol semangat kasih sayang serta ikatan pemimpin dengan rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan inisiatif sebegini akan diteruskan secara berperingkat bagi memastikan lebih ramai penduduk kampung, khususnya golongan kurang berkemampuan, mendapat manfaat.
Sementara itu, penerima bantuan menzahirkan rasa syukur dan terharu dengan perhatian yang diberikan, menyifatkan langkah itu sebagai bukti keprihatinan yang tidak hanya hadir di pentas politik, sebaliknya benar-benar menyentuh denyut nadi kehidupan seharian.
Program Ziarah Kasih sekali gus menegaskan komitmen DAP dalam memperjuangkan kebajikan rakyat, seiring dengan semangat “Bersama Rakyat, Demi Rakyat.”-pr/BNN





