KENINGAU: Sokongan terhadap pasukan keselamatan bukan sekadar retorik, sebaliknya perlu dizahirkan melalui tindakan nyata.
Atas prinsip itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, menyalurkan sumbangan ikhlas kepada Pasukan Rentas Halangan Briged Sabah PGA, Batalion 21 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bakal mewakili negeri ini ke kejohanan peringkat nasional.
Sumbangan berkenaan disampaikan melalui Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Liawan, Adzra @ Addy, dalam satu majlis ringkas di Pejabat UPPM Liawan, di sini, semalam. Ia bertujuan memberi suntikan moral kepada pasukan yang akan menyertai Kejohanan Ujian Fizikal Rentas Halangan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam 2025 di Cheras, Selangor bulan ini.
Mewakili pasukan penerima, Herryanoh Riko Maginshi, menyifatkan sokongan tersebut sebagai pendorong semangat kepada mereka.
“Sumbangan ini bukan sekadar bantuan, tetapi menjadi pembakar semangat kami untuk mengharumkan nama Sabah dan pasukan PGA di pentas nasional,” katanya.
Inisiatif itu mencerminkan keprihatinan seorang wakil rakyat yang bukan sahaja peka terhadap keperluan rakyat, malah turut berdiri bersama barisan hadapan keselamatan. Ia sekali gus memperkukuh hubungan erat antara kepimpinan setempat dengan pasukan beruniform yang menjadi benteng pertahanan negara.-pr/BNN