KOTA KINABALU: ConocoPhillips Malaysia melancarkan inisiatif pendidikan STEM dan keterangkuman digital, STEM Forward: Powered by ConocoPhillips and the U.S. Embassy, di Perpustakaan Tanjung Aru hari ini bagi memupuk minat pelajar terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Presiden ConocoPhillips Malaysia, Connor Dunn berkata, pendidikan menjadi tumpuan utama program tanggungjawab sosial syarikat (CSR) dengan usaha menyediakan akses pembelajaran inklusif serta memberi impak positif kepada generasi masa depan.
Program itu merupakan sebahagian daripada STEM Education Accelerator dan dilaksanakan melalui kerjasama dengan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) serta Kedutaan A.S. Ia menghubungkan pembelajaran bilik darjah dengan pengalaman praktikal yang relevan dengan industri, sekali gus menggalakkan kreativiti, literasi digital dan pemikiran kritis.
Pengurus Besar Kanan Aset KBB ConocoPhillips Malaysia, Ian Ramshaw berkata, pelajar didedahkan dengan eksperimen, simulasi dan aktiviti yang menghubungkan sains dengan kehidupan seharian, seterusnya membuka peluang kepada kerjaya berkaitan STEM.
Menurut Pengarah Penglibatan Awam Kedutaan A.S., Grace Choi, inisiatif itu turut diperkukuh dengan penubuhan American Corner Sabah di Perpustakaan Tanjung Aru pada Jun 2024 bagi memperluas akses pendidikan, pertukaran dan pembangunan kemahiran.
Sementara itu, Pengurus Program UTP, Dr. Nasir Abdul Jalil menegaskan pihak universiti komited menyokong program praktikal yang dapat meningkatkan kreativiti, literasi digital dan aplikasi teknologi bagi menyokong pembangunan mampan negara.
Sebagai sebahagian daripada pelancaran, ConocoPhillips Malaysia menyumbangkan peranti analitik data, kit robotik, set dron dan pencetak 3D kepada Perpustakaan Tanjung Aru. Peralatan itu akan ditempatkan di American Corner sebagai hab pembelajaran digital dan pertukaran budaya.
ConocoPhillips Malaysia telah beroperasi sejak tahun 2000 dan kini menjadi pengendali tunggal Kebabangan Cluster fields PSC di perairan Sabah dengan operasi berpangkalan di Kota Kinabalu. Syarikat itu turut aktif melaksanakan program outreach STEM bersama UTP dan menyediakan bantuan pendidikan melalui Yayasan MyKasih. – pr/BNN





