KUCHING: Sabah membangkitkan beberapa isu penting termasuk cadangan menambah bilangan kerusi Parlimen bagi negeri itu dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, mesyuarat berlangsung dalam suasana harmoni dan membuka ruang kepada perbincangan lanjut antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Sabah mahu lebih banyak kerusi Parlimen diwujudkan selaras dengan semangat MA63 bagi melindungi kepentingan negeri serta rakyat. Pada dasarnya, Perdana Menteri bersetuju, namun perkara ini perlu dibincang di peringkat teknikal kerana melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan. Inilah sebabnya hubungan baik Negeri-Persekutuan sangat penting,” katanya selepas mesyuarat di Kompleks Satria Pertiwi.

Turut dibangkitkan ialah cadangan agar sektor pelancongan dimasukkan dalam senarai bersama (concurrent list), yang akan dibawa ke jawatankuasa teknikal untuk penelitian.

Delegasi Sabah diketuai Hajiji bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya, selain beberapa menteri kabinet negeri serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong.

Dalam pada itu, Hajiji turut menyambut baik pelancaran Jalan Penghubung Sabah-Sarawak Fasa 2 (SSLR 2) bernilai RM7.6 bilion pada hari ini yang disifatkan sebagai langkah besar memperkukuh jaringan penghubung antara dua negeri terbesar di Malaysia serta merangsang pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan pelancongan.

Delegasi Sarawak pula diketuai Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg. – pr/BNN