KENINGAU: Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Keningau, Encik Rafie Robert, mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, turun padang melakukan pemantauan di Kampung Kota Ayangan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Turut serta ialah Ketua Kampung Kota Ayangan, Haji Musa Haji Numan; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Encik Jamatin Kuman; Setiausaha JKKK, Encik Syafiee Haji Ludi; Penolong Jurutera Pejabat Daerah Keningau, Encik Roy Alffian Kassim serta barisan Pemuda GRS Keningau.
Kehadiran pelbagai pihak itu mencerminkan komitmen bersama untuk meneliti punca kejadian banjir yang menimbulkan kebimbangan kepada penduduk setempat.
Hasil tinjauan mendapati beberapa kawasan aliran sungai dan sistem perparitan di sekitar kampung berada dalam keadaan yang memerlukan tindakan segera.
Antara punca utama limpahan air ialah hujan lebat berterusan, sistem perparitan tersumbat dengan sampah-sarap serta kurangnya penyelenggaraan berkala yang menyebabkan aliran tersekat hingga mengakibatkan banjir luar biasa.
Bagi menangani isu itu, langkah segera akan dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Keningau, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah serta agensi berkaitan lain bagi mencari penyelesaian jangka pendek dan panjang.
Dalam masa sama, penduduk kampung disaran memainkan peranan aktif dengan memastikan sungai, parit dan saliran sentiasa bersih serta bebas daripada sampah-sarap bagi mengelakkan kejadian banjir berulang.-pr/BNN





