KENINGAU: Kejohanan Badminton Tertutup Mukim Senagang & Jemputan 2025 melabuhkan tirai dengan penuh meriah selepas tiga hari berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Meninipir, bermula 12 hingga 14 September lalu.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Liawan, Adzra Addy Jasni yang hadir mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman.
Kejohanan itu bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi platform mengeratkan ukhuwah penduduk setempat, memperkukuh semangat kesukanan dan mencungkil bakat baharu dalam arena badminton di peringkat akar umbi.
Menurut penganjur, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk belia dan pemain berpengalaman yang tampil mempersembahkan aksi bertenaga di gelanggang.
“Selain mencungkil bakat, kejohanan ini juga mendorong belia mengisi masa lapang dengan aktiviti sihat, sekali gus menyemarakkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat,” kata jurucakap penganjur.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta, penaja dan jawatankuasa yang memastikan kejohanan berjalan lancar serta diserikan dengan semangat kekitaan yang tinggi.-pr/BNN