KOTA MARUDU : Seramai 115 peserta menyertai Program Hiking Bukit Tonsom atau lebih dikenali sebagai Bukit Pemancar Kota Marudu, yang berlangsung penuh semangat persaudaraan dan kesyukuran, semalam.
Program anjuran Jabatan Pelayanan Penatalayanan Northern Sabah Mission (NSM) of Seventh-day Adventists (SDA) itu bermula di Dewan Serbaguna Kampung Tonsom, sebelum peserta menempuh perjalanan sejauh tiga kilometer ke puncak dan turun semula dengan jarak sama.
Sepanjang pendakian, para peserta berpeluang menikmati keindahan panorama alam ciptaan Tuhan di pagi minggu yang segar.
Presiden NSM, Pastor Feldinand Sawanan bersama keluarga turut hadir, di samping pemimpin masyarakat, pemimpin gereja serta warga dari pelbagai daerah di Utara Sabah yang sama-sama menjayakan program berkenaan.
Pastor Feldinand berkata, program itu bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya menjadi wadah mempererat perpaduan dan memperkukuh penghayatan rohani dalam kalangan peserta.
“Segala sesuatu yang dijadikan Allah itu amat baik.” (Kejadian 1:31). Firman ini menjadi nyata apabila kita menikmati alam ciptaan Tuhan sepanjang pendakian, sekali gus mengingatkan bahawa tubuh kita adalah bait Roh Kudus yang perlu dijaga dengan gaya hidup sihat,” katanya.
Pihak penganjur menjelaskan, program berkenaan bertujuan menggalakkan gaya hidup aktif, menghubungkan manusia dengan keindahan alam ciptaan Tuhan, serta memupuk semangat kebersamaan tanpa mengira bangsa dan agama.
Lebih daripada sekadar mendaki, acara itu menjadi jambatan hati yang menguatkan ukhuwah dan meneguhkan iman, selaras dengan firman: “Berjalan bersama Tuhan, kita tidak akan letih dan tidak akan lesu.” (Yesaya 40:31).-pr/BNN