KENINGAU: Program Jalinan Kasih Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Bingkor yang digabungkan dengan Sambutan Hari Malaysia peringkat Mukim Bunga Raya/Merampong berlangsung meriah di Dewan Terbuka Kampung Liau Ulu, semalam.

Acara yang mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat itu turut disertai pelbagai agensi kerajaan dan swasta, sekali gus menyerlahkan semangat kebersamaan rakyat.

Antara pengisian program termasuk khidmat Unit Tabung Darah Hospital Keningau melalui program derma darah, perkhidmatan Jabatan Kebajikan Masyarakat Keningau, pemberian kad SIM percuma, pemeriksaan mata secara percuma serta Jualan Rahmah Madani yang menawarkan harga berpatutan untuk keperluan harian penduduk.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Keningau, Rafie Robert yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor merangkap Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin.

Dalam majlis sama, turut diadakan penyerahan rasmi Projek Siap Dewan Terbuka Kampung Liau Laut yang disempurnakan oleh Rafie bagi pihak Datuk Robert.

Beliau dalam ucapannya menekankan kepentingan masyarakat menjaga dan memanfaatkan sepenuhnya prasarana yang dibangunkan kerajaan demi keselesaan bersama, selain sebagai pusat penganjuran pelbagai aktiviti kemasyarakatan pada masa depan.

Sambutan Hari Malaysia itu bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk, malah turut menjadi wadah memperkukuh perpaduan masyarakat desa serta generasi muda.

Program berkenaan sekali gus mencerminkan sokongan padu masyarakat kepada kerajaan GRS yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat dan pembangunan setempat, seiring aspirasi “Bingkor Membangun Bersama Rakyat.”-pr/BNN