KENINGAU: Insiden seorang pekerja Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dilaporkan hilang selepas kenderaan pacuan empat roda dinaikinya bersama tiga rakan dihanyutkan kepala air ketika melintasi Sungai Apin-Apin, Kampung Nuntunan, lewat malam semalam, mencetuskan desakan penduduk agar jambatan kekal segera dibina di kawasan itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, dua mangsa berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi masih belum ditemui. Operasi pencarian dan menyelamat giat dijalankan pihak berkuasa sejak awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bingkor, Robert Paulus, yang juga jurucakap penduduk, berkata tragedi itu sekali lagi membuktikan betapa perlunya jambatan kekal menggantikan jambatan rendah (low cross bridge) yang sedia ada.
“Jalan ini merupakan laluan utama menghubungkan Kampung Nuntunan dengan Kampung Mararagang serta akses penting penduduk ke sekolah, hospital dan pekan Keningau. Setiap kali hujan lebat dan banjir, laluan ini tidak dapat digunakan dan jelas mengancam keselamatan nyawa penduduk,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, cadangan pembinaan jambatan kekal pernah dikemukakan pada era kerajaan terdahulu, namun projek itu tertangguh tanpa tindakan lanjut.
“Tragedi yang meragut nyawa ini sepatutnya menjadi pengajaran dan isyarat jelas kepada kerajaan untuk segera melaksanakan projek jambatan kekal yang amat didambakan penduduk,” tegasnya.
Penduduk turut menegaskan jambatan gantung sedia ada hanya sesuai digunakan pejalan kaki, dan tidak mampu menampung keperluan kenderaan termasuk motosikal serta pacuan empat roda.
Mereka berharap kerajaan negeri bersama agensi persekutuan dapat memberi keutamaan kepada projek berkenaan demi keselamatan dan kelangsungan hidup masyarakat setempat.-pr/BNN