KENINGAU: Penduduk Mukim Bingkor meluahkan rasa kecewa dan bimbang berikutan insiden vandalisme membabitkan papan tanda nama Klinik Kesihatan Bingkor serta Jata Negara yang dicungkil dan dipatahkan pihak tidak bertanggungjawab, baru-baru ini.
Jurucakap Klinik Kesihatan Bingkor yang enggan namanya didedahkan berkata, tindakan merosakkan harta awam itu amat mengecewakan kerana papan tanda berkenaan baru sahaja diperindah, namun tidak bertahan lama akibat perbuatan khianat.
“Sudah beberapa kali pihak klinik memohon pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan pengawal keselamatan, namun sehingga kini masih belum diluluskan. Kami akan terus berusaha mendapatkan kelulusan kerana kes sebegini semakin kerap berlaku,” katanya ketika ditemui.
Beliau turut mendedahkan sebelum ini terdapat kesan cungkilan pada bahagian depan kenderaan rasmi klinik dipercayai cubaan mencuri bateri, selain kesan cubaan pecah masuk ke dalam bangunan. Katanya, jenayah kecil seperti itu semakin berleluasa dan menimbulkan keresahan masyarakat setempat.
Sementara itu, penduduk serta pengguna media sosial mencadangkan agar sebuah pondok polis diwujudkan di Pekan Bingkor dengan anggota bertugas setiap hari, memandangkan banyak kes kecurian dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini.
Mereka juga mahu isu keselamatan dibawa ke mesyuarat rasmi pihak berkuasa tempatan bagi mempertimbangkan penempatan pengawal keselamatan di klinik berkenaan.
Tanpa pemantauan rapi terutama pada waktu malam, bukan sahaja papan tanda klinik terdedah kepada kerosakan, malah keselamatan persekitaran klinik turut berisiko.
Jurucakap klinik menambah, laporan polis akan dibuat segera dan perkara ini akan dibawa kepada perhatian Pengarah Kesihatan Negeri untuk pertimbangan serta kelulusan aspek keselamatan.-pr/BNN