KENINGAU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, menggesa agar sebuah pondok keselamatan diwujudkan di Klinik Pekan Bingkor bagi menempatkan pengawal keselamatan secara tetap demi menjamin keselamatan premis berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Etnik Kujau Gana Nabai Sabah (KGNS) berkata, langkah itu perlu dipercepatkan berikutan insiden vandalisme membabitkan papan tanda nama Klinik Kesihatan Bingkor serta Jata Negara yang dicungkil dan dipatahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, baru-baru ini.

“Perbuatan ini bukan sahaja jenayah vandalisme, malah mencemar imej masyarakat setempat serta menghina lambang negara,” katanya ketika ditemui, di sini.

Yazid berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu segera mengambil tindakan dengan menempatkan pengawal keselamatan tetap serta memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan klinik itu bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Selain itu, katanya, tindakan tegas juga wajar diambil terhadap pihak yang melakukan perbuatan khianat berkenaan sebagai pengajaran kepada orang lain.

“Pada masa sama, masyarakat setempat juga perlu memberikan kerjasama dengan segera melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan bagi membendung perbuatan tidak bermoral seperti ini,” tegasnya.-pr/BNN