KENINGAU: Sambutan Hari Malaysia ke-62 di Perkarangan Batu Sumpah, Keningau baru-baru ini berlangsung penuh penghayatan apabila disertai pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat, termasuk Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) DSP GS Sundang.

Perarakan sederhana tetapi sarat makna itu turut disertai Pengetua SAANS DSP GS Sundang, Rozie Gitang bersama sebahagian guru, sebagai tanda komitmen memupuk semangat cinta negara serta kesedaran sejarah penubuhan Malaysia dalam kalangan generasi muda.

Menurut Rozie, acara tahunan seperti ini menjadi wadah penting untuk rakyat, khususnya golongan muda, memahami perjalanan serta cabaran yang dilalui dalam proses pembentukan Malaysia.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan yang tidak pernah jemu memberi pencerahan mengenai liku-liku penubuhan Malaysia. Kefahaman ini amat penting agar generasi kini tahu dan menghayati nilai perjuangan yang pernah dilalui,” katanya.

Beliau menegaskan, Batu Sumpah yang berdiri megah di Keningau adalah monumen bersejarah yang menjadi saksi kepada syarat persetujuan pemimpin Sabah ketika menyertai Malaysia, sekali gus simbol perjuangan menuntut hak negeri yang masih relevan hingga kini walaupun selepas 62 tahun.

Sambutan itu turut disifatkan sebagai manifestasi semangat perjuangan rakyat Sabah yang akan terus dipertahankan dan diwarisi oleh generasi seterusnya.-pr/BNN