KENINGAU: Keprihatinan seorang pemimpin jelas terpancar apabila Timbalan Penyelaras Parlimen P.180 Keningau, Dato’ Mohd Ishak Datuk Ayub, turun padang menziarahi keluarga Allahyarham Masedeh Rosmin, anggota Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) yang baru-baru ini meninggal dunia.
Mohd. Ishak yang mewakili Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan, meluangkan masa menziarahi balu arwah, Puan Riziah Yunin, di Kampung Tudan Baru, di sini.
Dalam kunjungan penuh keinsanan itu, beliau menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa selain menyerahkan sumbangan bakul makanan serta sumbangan peribadi sebagai tanda solidariti dan sokongan moral.
“Kehilangan insan tersayang bukan sesuatu yang mudah, namun doa dan sokongan daripada keluarga serta masyarakat diharapkan dapat memberi kekuatan kepada mereka yang diuji,” katanya.
Turut hadir, pegawai Pusat Khidmat Rakyat Parlimen (PKRP) P.180 Keningau yang bersama-sama menyantuni keluarga terbabit dalam suasana penuh empati.
Lawatan itu mencerminkan nilai kepedulian pemimpin yang sentiasa bersama rakyat, bukan sahaja ketika senang tetapi juga dalam saat sukar, sekali gus mengukuhkan hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat setempat.-pr/BNN





