PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah dengan kerjasama Transparency International Malaysia (TI-M), United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) serta Society for Equality, Respect and Trust for All (SERATA) menganjurkan program Belia Menentang Rasuah: Bengkel Integriti & Akauntabiliti dan Bengkel Antirasuah – Menerajui Integriti Perniagaan di Tawau, baru-baru ini.
Ahli Jawatankuasa Exco TI-M, Balbeer Singh berkata, penglibatan golongan belia amat penting kerana mereka merupakan aset negara yang akan menentukan arah pembangunan dan kemakmuran masa depan.
“TI-M sebelum ini telah menganjurkan forum mengenai pemilikan benefisiari dan pengisytiharan aset. Program kali ini pula dilaksanakan berdasarkan maklum balas peserta serta komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan cabaran dalam membuat laporan atau melaksanakan langkah pencegahan rasuah di Sabah,” katanya.
Menurutnya, PKS berperanan besar memacu kemajuan negara dan dengan adanya pendedahan melalui program ini, mereka diharap dapat menjalankan perniagaan secara berintegriti tanpa bergantung kepada rasuah untuk mendapatkan tender atau keuntungan.
Program yang berlangsung selama dua hari di City Hall, LA Hotel, Tawau itu menarik penyertaan seramai 31 belia daripada Gabungan Persatuan Belia Tawau, GIAT MARA Tawau dan Politeknik Tawau pada hari pertama.
Manakala pada hari kedua, 41 peserta daripada komuniti PKS termasuk Gabungan Persatuan Kelapa Sawit Tawau dan Gabungan Persatuan Peniaga Majlis Perbandaran Tawau turut serta.
Pegawai Program Nasional UNODC, Vickram Ragunath yang hadir pada program berkenaan berkata, usaha itu bertujuan memberi pendedahan dan kefahaman kepada masyarakat mengenai kepentingan melaporkan rasuah melalui saluran yang tepat.
Beliau menambah, projek tersebut juga selaras dengan pembentukan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang dipandu oleh dokumen NACS: Panduan Praktikal untuk Pembangunan dan Pelaksanaan oleh UNODC.
Sementara itu, Ketua Cawangan Pendakwaan SPRM Sabah, PsK Dzulkarnain Rousan Hasbi turut berkongsi ilmu berkaitan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), sekali gus menggalakkan lebih ramai masyarakat tampil menyalurkan maklumat kepada agensi penguatkuasaan.
Selain bengkel, program turut diserikan dengan aktiviti interaktif dikendalikan SPRM Sabah, TI-M, UNODC dan SERATA. SPRM Cawangan Tawau juga menganjurkan pameran antirasuah bagi memberikan pemahaman lebih jelas mengenai peranan agensi itu sebagai peneraju utama memerangi rasuah di Malaysia.-pr/BNN