KENINGAU: Warisan budaya etnik Keningau terus diperkasa apabila Persatuan Kebudayaan Keningau (KenCA) dengan kerjasama Persatuan Gana Sabah, Persatuan Dusun Kujau Sabah, Pertubuhan Etnik Murut Nabai Sabah serta Persatuan Kebudayaan Dusun BunduLiwan Keningau bakal menganjurkan Program Pemerkasaan Budaya Etnik Keningau 2025.

Program yang turut mendapat sokongan Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau (KeTCA) pimpinan Encik Rafie Robert itu dijadual berlangsung dari Oktober hingga November 2025, melibatkan empat lokasi berbeza sekitar daerah ini.

Antara pengisian utama termasuk bengkel tarian tradisional, persembahan muzik etnik dan pameran kraftangan masyarakat tempatan yang menonjolkan kekayaan identiti budaya Keningau.

Tumpuan diberikan kepada seni tarian, alunan muzik serta hasil kraftangan sebagai medium mendidik generasi muda tentang keunikan budaya tempatan.

Mesyuarat persediaan program turut dihadiri Puan Jayline Lian yang mewakili Persatuan Dusun Kujau Sabah, Encik Harry Gitik selaku Pengerusi Persatuan Kebudayaan Dusun BunduLiwan Keningau serta Encik Nuar Selamat daripada Pertubuhan Etnik Murut Nabai Sabah.

Pengerusi KenCA, Encik Haji Mohd Zakaria, berkata program ini diyakini mampu menjadi platform penting dalam menghubungkan generasi lama dan baharu.

“Selain memperkukuh kesinambungan warisan budaya, ia juga mengukuhkan perpaduan masyarakat majmuk di Keningau yang kaya dengan pelbagai etnik,” katanya.

Program ini bukan sahaja memperkayakan pengetahuan budaya dalam kalangan masyarakat tempatan, tetapi turut memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan budaya daerah.-pr/BNN