KOTA KINABALU: Cadangan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor untuk melaksanakan pendidikan percuma di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) milik Kerajaan Negeri serta subsidi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disifatkan sebagai langkah bijak dan berpandangan jauh demi masa depan rakyat Sabah.
Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah berkata, inisiatif tersebut menggambarkan kesungguhan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membangunkan modal insan sebagai teras kemajuan negeri.
“Cadangan ini realistik dan bukti bahawa GRS adalah kerajaan yang berwawasan. Ia menzahirkan iltizam politik (political will) untuk memastikan Sabah melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berakhlak mulia, bukan hanya bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, walaupun projek-projek fizikal lebih mudah dilaksanakan, usaha melahirkan warga Sabah berpendidikan tinggi dan berdaya saing adalah lebih penting untuk menjamin masa depan negeri.
Beliau menegaskan, selepas hampir lima tahun memimpin, kerajaan pimpinan Hajiji bukan sahaja berjaya menyiapkan banyak projek tertunggak, malah memperkenalkan inisiatif baharu termasuk Rumah Sejahtera SMJ yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Mengulas serangan bertali arus daripada pembangkang yang melabel kerajaan GRS sebagai “gagal”, Aksyah berkata rakyat boleh menilai pencapaian sebenar kerajaan berbanding retorik politik.
“Ketua Menteri tidak melayan gelaran tidak wajar seperti ‘penipu’ atau ‘gagal total’. Sebaliknya beliau terus menunaikan amanah melalui Hajatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) demi kestabilan politik negeri,” katanya.
Beliau menambah, pembangkang seharusnya malu membawa naratif “kerajaan gagal” kerana ketika mereka berkuasa dahulu, banyak isu juga gagal diselesaikan walaupun memerintah lebih lama.
Aksyah juga menegaskan bahawa kemenangan besar GRS pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) kelak amat penting bagi memperkasakan parti-parti tempatan Sabah sebagai teras pemerintahan negeri.
Katanya, contoh terbaik dapat dilihat di Sarawak apabila kekuatan parti tempatan membolehkan negeri itu meraih banyak hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Demikian juga Sabah. Sejak GRS bersama PH menerajui kerajaan, banyak perkara berkaitan MA63 berjaya ditunaikan. Untuk memperoleh lebih banyak hak, rakyat perlu terus memberikan mandat besar kepada GRS,” ujarnya.
Aksyah juga menzahirkan penghargaan kepada Hajiji atas langkah proaktif melahirkan modal insan Sabah.
“Tahniah kepada Ketua Menteri kerana berani membuat keputusan berpandangan jauh. Inisiatif pendidikan percuma dan subsidi PTPTN ini adalah bukti GRS benar-benar cakna terhadap masa depan Sabah dan rakyatnya,” katanya. – pr/BNN